Wednesday 9 May 2012

BAB 1: PENGENALAN ADAT BERIAN SAMPAI MATI



 BAB 1


PENDAHULUAN

1.1        Pengenalan

Sabah adalah sebuah negeri yang terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Sabah mempunyai keluasan 73 620 kilometer persegi dan dikelilingi oleh pantai sepanjang 1 577 kilometer dari Labuan ke Tawau. Negeri Sarawak dikenali sebagai ‘Sarawak Bumi Kenyalang’, manakala negeri Sabah pula dikenali sebagai 'Sabah Negeri Di Bawah Bayu' kerana kedudukan negeri Sabah berada di bahagian luar dan selatan zon ribut atau dikenali ‘The Land Below The Wind’. Sabah juga mempunyai gunung yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu gunung Kinabalu, gunung yang kelima tertinggi di dunia dan dikenali sebagai kemuncak Malaysia yang mempunyai ketinggian 4 101 meter. Sabah sudah didiami oleh manusia sejak 27 000 tahun terdahulu dan pernah dijajah oleh Barat dan Jepun. Sabah merdeka bersama Malaysia pada tahun 1963 dan sekarang sudah 52 tahun mengecapi kemerdekaan bersama Malaysia.

Sabah sering dikatakan sebagai sebuah negeri yang unik. Keunikan ini terserlah daripada penduduk Sabah yang terdiri daripada lebih kurang 41 kumpulan etnik dan subkumpulan etnik yang menggunakan lebih kurang 50 bahasa dan menuturkannya dalam tidak kurang 80 dialek (Mat Zin Mat Kib, 2005: 1). Setiap kumpulan etnik dan subkumpulan etnik ini juga mempunyai kebudayaan, kepercayaan, adat resam, agama, sistem politik, kawasan petempatan dan warisan seni yang berbeza-beza. Pada masa ini, penduduk peribumi Sabah terdiri daripada kumpulan etnik dan subkumpulan etnik seperti Dusun, Kadazan, Bajau, Bisaya, Kokos, Bugis, Ida’an, Kwijau, Tatana, Lotud, Rungus, Sukang, Tangara, Kimaragang, Garo, Tobilung, Kedayan, Dumpas, Minokok, Rumanau, Mangkaak, Bundu, Makiang, Malapi, Sinapuru, Sinabu, Kolobuan, Pingas, Tidong, Sonsogon, Gonsomon, Tuhawan, Tutung, Liwan, Tolinting, Bonggi, Gana-Dusun, Paitan, Lingkabu, Ngabai, Tombonua, Lobo, Murut, Tindal, Bisaya dan Orang Sungai.

Menurut Cliff Akid Kamijan dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 30) Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai rakyat pelbagai bangsa, budaya, agama dan kepercayaan. Owen Rutter dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) menjelaskan bahawa pengkategorian etnik yang utama di Sabah ialah tertumpu kepada kaum Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Suluk, Bisaya dan Melayu Brunei. Setiap kumpulan etnik ini mempunyai adat resam, kebudayaan dan amalan kepercayaan yang berbeza-beza. Mereka terdiri daripada penduduk peribumi bukan Islam dan peribumi Islam. Kumpulan etnik Dusun, Murut dan Rungus kebanyakannya bukan beragama Islam. Setiap kumpulan etnik, khususnya Dusun dan Murut mempunyai subkumpulan etnik masing-masing. Manakala, kumpulan etnik Idahan, Bajau, Iranun, Sulu, Bisaya, Melayu-Brunei, Orang Sungai dan Tidong pada keseluruhannya beragama Islam.

Dalam kajian ini, pengkaji menumpukan perhatian sepenuhnya kepada masyarakat Murut  khusus kepada Murut Tagal. Masyarakat Murut merupakan suku kaum ketiga terbesar di Sabah selepas masyarakat Dusun dan Bajau.  Antara subkumpulan masyarakat Murut yang terdapat di Sabah ialah Tagal, Paluan, Baukan, Timugon, Rundum, Nabay dan Kolod. Mereka menetap di kawasan pedalaman dan bahagian tenggara negeri Sabah iaitu di Pensiangan, Nabawan, Tenom, Kemabong, Sipitang, di sepanjang Sungai Padas atau Meligan, Sook, Batu Punggul, Sapulut, Melalap, Tomani di estet Sapong hinggalah ke sempadan Indonesia. Kawasan-kawasan petempatan kumpulan ini merupakan kawasan yang berbukit-bukau, bergunung-ganang, berhutan rimba dan jauh dari pantai. Keadaan persekitaran seperti ini telah mempengaruhi sistem kepercayaan dan adat tradisi masyarakat sekelilingnya.

Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi.  Murut dataran tanah rendah terdiri daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata Keningau. Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami kawasan tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar. Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas di Tenom, berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat berhampiran Sipitang. Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil “orang bukit” menduduki kawasan Dalit dan Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan. Ketiga, Murut Rundum yang menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan berkembang ke utara Rundum. Keempat, Murut Tahol yang berpindah dari persekitaran Sungai Tagul dan menduduki kawasan Bole, Kemabong, Tenom dan Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole. Keenam, Murut Sapulut menduduki kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai Sepulut dan Murut Pensiangan (Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang hingga ke sempadan dan tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut Sapulut adalah dikenali sebagai Murut Tagal.

Setiap subkumpulan masyarakat Murut ini memiliki adat yang tersendiri dan dipercayai diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka lagi.  Antara subkumpulan masyarakat Murut yang memiliki adat yang sangat unik dan berbeza dengan subkumpulan lain ialah kaum Murut Tagal yang mengamalkan adat ‘Berian Sampai Mati’ sejak dahulu lagi. Dari segi penelitian yang dibuat, ternyata  masyarakat Murut Tagal merupakan satu-satunya subkumpulan Murut  yang mengamalkan adat ‘Berian Sampai Mati’ di seluruh Malaysia. Kawasan petempatan Murut Tagal ialah tertumpu di daerah Pensiangan, daerah Sepulut dan daerah Tenom. Fokus kawasan kajian ini ialah di daerah Sepulut yang terkenal sebagai sebuah daerah yang kuat mengamalkan adat ‘Berian Sampai Mati’ sama seperti dareah Pensiangan, daerah Nabawan dan daerah Tenom.


1.2       Pernyataan Masalah

Masalah pertama dijalankan kajian ini disebabkan kurangnya kajian mengenai amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh pengkaji lain sama ada dalam negara mahupun  luar negara. Pengkaji mewakili masyarakat Murut Tagal daerah Sepulut di negeri Sabah untuk mengkaji amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ ini. Berdasarkan pengkajian yang telah dilakukan, terdapat banyak kajian mengenai keseluruhan aspek kehidupan masyarakat Murut Tagal yang dilakukan oleh penulis Barat semasa pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada tahun 1881 sehingga tahun 1963, tetapi tidak menenerangkan secara jelas dan mendalam mengenai amalan ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di negeri Sabah. Meskipun penulis Barat  ada menulis mengenai ‘Berian Perkahwinan Murut Tagal’ dan melakukan kajian sendiri berdasarkan pengamatan dan kaedah temu bual tetapi mereka tidak dapat mentafsir secara rasional di sebalik amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di negeri Sabah. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengkaji untuk menjalankan kajian mengenai amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ ini sebagai langkah terbaik memperkenalkan suku kaum sendiri kepada masyarakat seluruh Malaysia khususnya yang berbilang kaum, kepelbagaian adat kepercayaan, agama dan budaya yang berbeza-beza. Kajian ini sangat menepati konsep “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak.

Di samping itu, masalah kedua ialah kajian ini dijalankan untuk menjelaskan konsep ‘Berian Sampai Mati’ kepada masyarakat di seluruh Malaysia supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif terhadap amalan adat suku kaum Murut Tagal ini. Masalah kurangnya pendedahan mengenai adat ‘Berian Sampai Mati’ telah menimbulkan masalah kepada suku kaum lain yang beranggapan bahawa perkahwinan dengan gadis Murut Tagal akan membawa kesusahan dan memberi bebanan kepada pihak lelaki semasa penghantaran ‘berian’ atau dikenali sebagai ‘mas kahwin’ disebabkan oleh amalan adat ini. Oleh itu, pengkaji menyedari bahawa betapa perlunya kajian ini dilakukan sebagai rujukan kepada suku kaum lain di Malaysia supaya memahami amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut dan keseluruhan negeri Sabah amnya.

Selain itu juga, masalah ketiga yang berlaku ialah timbulnya sikap ketidaksedaran dan sikap ‘tidak kisah’ mengenai kerasionanalan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh suku kaum Murut Tagal sendiri serta pandangan suku kaum lain di Malaysia. Mereka hanya tahu adat ini hanya menyusahkan dan membebankan tetapi tidak memahami tujuan sebenar adat ini diamalkan. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi menjelaskan kerasionalan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal daripada terlalu bersikap bias. Di sebalik amalan adat ‘Berian Sampai Mati’  ini terdapat kelebihan dan kekurangan yang tidak disedari oleh masyarakat Murut Tagal sendiri dan suku kaum lain selama ini.       

Masalah yang berlaku pada masa ini ialah kurangnya sumber rujukan mengenai amalan  adat ‘Berian Sampai Mati’ di perpustakaan dan muzium-muzium di Sabah dan Semenanjung Malaysia. Walaupun banyak kajian mengenai jenis ‘berian’ perkahwinan, adat istiadat upacara perkahwinan dan kebudayaan suku kaum Murut Tagal di Sabah di perpustakaan dan muzium-muzium. Namun, kajian khusus mengenai adat ‘Berian Sampai Mati’ sukar dicari di mana-mana tempat. Oleh sebab itu, kajian ini dijalankan bagi menambahkan sumber rujukan dan panduan kepada generasi muda dan juga suku kaum lain di Malaysia untuk merujuk amalan adat ‘Berian Sampai Mati’  oleh masyarakat Tagal ini di Sabah pada masa hadapan. Malahan kajian ini menjadi satu perkongsian ilmu yang tidak akan diperolehi dari mana-mana suku kaum lain di Malaysia.

Masalah terakhir ialah kurangnya penulis dari suku kaum Murut Tagal sendiri mengenai amalan adat dan kepercayaan suku kaum sendiri. Hal ini disebabkan oleh kurangan orang yang berpendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut khusunya. Jika ada pun, hanya beberapa orang sahaja dan boleh dihitung dengan jari. Oleh itu, pengkaji menjalankan kajian ini bagi mewakili suku kaum Murut Tagal di daerah Sepulut. Tujuannya ialah untuk mengangkat martabat masyarakat Murut Tagal yang kekurangan generasi muda dalam mengkaji adat sendiri daripada terus dilupakan.


1.3        Kepentingan Kajian

Kajian ini memberi sumbangan kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah dalam memperkenalkan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ kepada masyarakat seluruh Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat kepercayaan yang berbeza-beza. Kajian ini penting dijalankan bagi mengelak kekeliruan dan tanggapan-tanggapan negatif oleh  masyarakat lain mengenai konsep ‘Berian Sampai Mati’ ini. Sesungguhnya, kajian ini dapat menimbulkan sikap saling faham-memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain mengenai amalan adat sesuatu kaum di Malaysia. Melalui kajian ini juga, wujudlah satu budaya perkongsian ilmu pengetahuan mengenai amalan adat sesuatu kaum khususnya amalan adat  suku kaum Murut Tagal yang jauh tersorok jauh di pedalaman khususnya di daerah Sepulut, Sabah.

Selain itu juga, kajian ini sangat penting bagi menjelaskan makna disebalik amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh suku kaum Murut Tagal. Makna disebalik adat ini tersembunyi beberpa isi tersirat ataupun unsur kerasionalan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran orang lain selama ini. Kajian ini dapat menjelaskan secara jelas serta bukti yang kukuh mengenai rasionalnya amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ daripada menerima perspektif negatif daripada suku kaum lain di seluruh Malaysia. Di samping itu, kajian ini juga dapat menimbulkan kesedaran kepada suku kaum Murut Tagal sendiri bahawa adat ini bukannya hanya adat lapuk yang tidak menyumbang kepada nilai-nilai positif yang sangat berguna dalam masyarakat. Malah adat ini dipercayai dapat memupuk keharmonian dan budaya bantu-membantu antara satu sama lain dalam kalangan keluarga masyarakat Murut Tagal apabila menghadapi kesusahan seperti majlis perkahwinan dan berlakunya kematian.

Akhir sekali, kajian ini sangat penting dijalankan untuk dijadikan rujukan oleh generasi muda tentang adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal pada masa hadapan. Pada zaman dahulu sehingga zaman sekarang, amalan adat ini hanya berlegar dalam minda dan dari mulut ke mulut golongan tua tanpa merujuk kepada sebarang dokumen bertulis. Sekiranya golongan tua masa ini sudah tiada, pasti tempat untuk merujuk adat lama ini akan lupus begitu saja. Oleh sebab itu, kajian ini amat penting dilakukan sebagai persediaan kepada generasi muda untuk mendapatkan bahan rujukan yang amat berguna pada suatu masa nanti. Amalan adat ini mampu memberi manfaat, panduan dan pengajaran kepada generasi muda. Pepatah Melayu mengatakan “buang yang keruh, ambil yang jernih”. Hal ini bermakna, adat yang tidak bermanfaat jangan diamalkan lagi, sebaliknya adat yang mendatangkan manfaat kepada sesuatu masyarakat diteruskan untuk mengekalkan keharmonian dan kurukunan sesebuah masyarakat pada masa akan datang.


1.4       Objektif Kajian

Kajian mengenai amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut Sabah ialah berdasarkan beberapa objektif kajian yang menjadi fokus utama iaitu :
i.                    Menjelaskan konsep adat ‘Berian Sampai Mati’.
ii.                  Mengetahui bentuk pelaksanaan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’.
iii.                Mengetahui tujuan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’.
iv.                Mengetahui jenis-jenis  ‘berian’ masyarakat Murut Tagal.
v.                  Menjelaskan kerasioanalan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’.
            1.5       Batasan Kajian

Fokus kajian ini ialah mengenai amalan adat  ‘Berian Sampai Mati’  oleh masyarakat Murut Tagal di  Daerah Sepulut yang terletak di bahagian selatan  negeri Sabah bersempadan dengan kawasan Kalimantan, Indonesia. Dalam kajian ini juga, pengkaji membuat perbandingan mengenai adat ‘berian’ masyarakat Murut Tagal dengan beberapa  kaum etnik di Malaysia sebagai dapatan kajian yang menarik dan berguna kepada pembaca dan masyarakat lain. Perbandingan adat ini dilakukan terhadap beberapa kaum di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.


1.6       Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan  perpustakaan  dengan merujuk kepada beberapa buku, tesis, penulisan ilmiah, jurnal dan majalah yang berkaitan. Pengkaji telah mengunjungi beberapa perpustakaan misalnya di Perpustakaan Negara, Perpustakaan Tunku Bainun, Perpustakaan Universiti Malaya, Perpustakaan Za’ba dan Muzium Arkeb Sejarah Kuala Lumpur.  Berikut adalah senarai buku yang ditulis oleh penulis tempatan yang menyumbang kepada kajian ini iaitu  Kebudayaan dan Adat Resam Kadazan dan Murut oleh Zaini bin Mohd. Isa ( (1969), Warisan Seni Etnik Sabah oleh Mat Zin Mat Kib (2007), Pluraliti Etnik dan Budaya di Sabah oleh Saidatul Nornis Hj. Mahali et al., (2007), Etnik di Sabah oleh Noor Risma Salfina Muhamad Rozali (2006), Masyarakat Etnik Sabah dan Sarawak oleh Zawiah Ahmad dan Suziana Che Ali (2005), Suku Kaum oleh Amran Abdullah Hamidah Husain (1993), Tradisional Costumes of Sabah oleh Rita Lasimbang dan Stella Moo-Tan (1997) dan  banyak lagi. Selain penulis tempatan, terdapat beberapa buku yang ditulis oleh penulis luar negara yang menjelaskan ‘berian’ oleh suku kaum Murut iaitu The Impact of Christianity on Power Relatioship and Social Exchange : A Case Study of Change Among The Tagal Murut, Sabah, Malaysia oleh Harris, Annete,.S (1995), Cultures, Customs and Traditions of Sabah Malaysia, An Introduction (1992), The Pagan of North Borneo oleh Owen Rutter (1929), Tuaran Adat, Some Customs of The Dusun of Tuaran West Coast Residency, North Borneo oleh Woolley,.G.C (2006).


1.7       Definisi Operasional

Definisi operasional ialah penghuraian makna dengan cara mengukur perkara yang khusus sahaja dalam kajian yang dijalankan. Terdapat beberapa istilah yang perlu difahami agar dapat memberi pemahaman kepada pembaca yang akan membaca kajian ini. Tujuan definisi operasional untuk memudahkan pengkajian serta pengkaji sendiri untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh pengkaji sendiri.
1.7.1    Amalan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 42), ‘amalan’ bermaksud sesuatu yang dilakukan, dilaksanakan, dikerjakan, sebagai suatu kebiasaan, perbuatan baik ataupun kebajikan.


1.7.2    Adat                                                                                                                                     

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 8) ‘adat’ ialah peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun, sejak dahulukala di dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi, lembaga, cara yang sudah menjadi kebiasaan, sifat dan kebiasaan. Menurut Lenski dalam Nazirmuddin Ahmad et al. (2005: 13) menyatakan ‘adat’ adalah perbuatan, tingkahlaku, corak tindakan dan kebiasaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli sesuatu kumpulan dalam sesuatu tempoh yang berpanjangan dan berterusan. Hal ini bermakna, adat dan tradisi adalah sesuatu yang diwarisi secara turun-temurun kepada generasi yang berikutnya.
           
Menurut Husin Embi dalam Zainal Abidin et al. (1996: 55), ‘adat’ ialah peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Contoh ungkapan-ungkapan adat  yang diberikan oleh Husin Embi adalah seperti berikut :
Biar mati anak                                                                                                                                                 
Jangan mati adat                               
Kecil dikandung ibu,                                                                                                                                                                                           Besar dikandung adat,                                                                                                                                 Mati dikandung tanah.
Laksamana berbaju besi,                                                                                                                             Masuk ke hutan melanda-landa,                                                   
Hidup berdiri dengan saksi,                                                                                                               
Adat berdiri dengan tanda.                


Menurut Zainal Abidin et al. (1996: 2) dari segi etimologi, ‘adat’ berasal dari bahasa Arab yang bererti kebiasaan. Adat muncul sebagai struktur asas seluruh kehidupan dan menegaskan ciri keperibadian sesebuah masyarakat. Justeru itu, adat mempunyai cerita atau metos suci, watak-watak asal usul yang gagah dan unggul dan memberi asas makna terhadap setiap peristiwa dalam edaran hidup manusia serta kewujudan institusi dalam masyarakatnya. Dengan demikian dalam masyarakat tradisi, adat mempunyai kedudukan suci hingga mencapai martabat agama, dipancarkan oleh kelakuan yang betul serta halus, suatu ciri kehidupan yang menyerapi sistem kepercayaan, hukuman dan denda. Setiap yang melanggar, melencong, melebihi atau menafikan adat menerima balasan dan hukuman. Sebaliknya setiap yang berjaya, berkuasa dan berwibawa akan memegang, menjalani serta patuh kepada adat.

Menurut Jusman Aman Setia dan Mohd Sarim Mustajab dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 47) ‘adat’ merupakan peraturan yang sudah diamalkan sejak turun-temurun dalam sesuatu masyarakat dan harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Agama Islam mengubah makna adat menjadi kebiasaan. Oleh itu, konsep adat boleh dikatakan keseluruhan corak hidup atau kebudayaan manusia di alam nyata dan juga menghubungkan manusia dengan alam kosmik yang simbolik dan sejagat. Adat menjadi ciri kehidupan, bukan sahaja manusia dalam lingkungan alam tabiinya, bahkan dalam kalangan semua makhluk seperti haiwan dan tumbuhan, malah ciri adat terdapat dalam pergerakan alam tabii itu sendiri, seperti kejadian semula jadi, rebut dan petir serta segala-gala dalam kosmos mengikut adat alam. Maka boleh dikatakan bahawa hukum alam adalah adat.

1.7.3    Berian

Perkataan ‘berian’ atau dalam bahasa Murut Tagal  ialah ‘pulut’ dan bahasa Inggerisnya ialah “Dowry” digunakan oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah bagi merujuk kepada barang hantaran kahwin atau ‘mas kahwin’ daripada keluarga pihak lelaki kepada keluarga pihak perempuan. Manakala ‘barian’ , ‘burial’ dan ‘brian’ kerap digunakan oleh penulis barat bagi meyebut ‘berian’ dalam kajian mereka. Walaubagaimanapun, ‘berian’, ‘barian’, ‘burial’ atau ‘brian’ adalah konsep yang sama sahaja. Menurut kajian Sherwood  (1990: 53) masyarakat Murut Tagal mengakui bahawa ‘berian’ perkahwinan akan dibayar hingga ke akhir hayat. Bukti kenyataan Sherwood ialah :
Many Tagal comment, “We pay until we die’. (Halaman 53)

Keempat-empat perkataan ini ‘berian’, ‘barian’, ‘burial’ atau ‘brian’ bermaksud barang hantaran kahwin yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki. “Berian” dianggap sebagai tunjang adat bagi mengukuhkan tali persaudaraan antara ibu bapa dan anak perempuan yang telah berkahwin.  ‘Berian’ melambangkan harga seorang gadis yang dikahwini oleh seorang teruna. ‘Berian’ juga menjadi kewajipan kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut setiap kali berlangsungnya perkahwinan. ‘Berian’ yang wajib dibawa oleh keluarga pihak lelaki seperti tajau (tembikar) dalam bahasa Murut ‘sampa’ iaitu tajau ‘Tiluan’, tajau ‘Binukul’, tajau ‘Binalayungan’ dan tajau kedai atau ‘sampah nu kadai’ , seekor atau dua ekor kerbau atau lembu Gong atau ‘ahung’, manik-manik berwarni-warni seperti ‘vungkas’, ‘sisitan’, ‘sinikot’, ‘salupai’, rarangkol’, ‘holong’,  pakaian tradisional Murut Tagal iaitu ‘pinongkoloh’, ikat pinggang iaitu ‘pipirot linggit’ dan‘pipirot sukayan’,  barang kemas, kain sarung atau ‘tapi’,  kain nila atau ‘kain kinayuh’, duit dan pelbagai jenis ‘berian’ yang lain.

Bagi mengukuhkan bukti, beberapa penulis memberi tafsiran mengenai istilah ‘berian’. Menurut Pollard (1935: 223-227) dalam dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), ‘berian’ ialah satu amalan biasa bagi masyarakat Murut, iaitu satu upacara pemberian kepada pihak perempuan daripada pihak lelaki ketika upacara perkahwinan.

Sistem meminta 'berian' atau hantaran sampai mati berlaku untuk mengukuhkan pertalian antara keluarga kedua belah pihak. Namun adat ini biasanya disyaratkan hanya kepada kaum lelaki sahaja. Selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan datang ke rumah anak perempuannya dan berhak meminta atau mengambil sesuatu daripada harta atau milik anak menantu lelaki mereka. Adat ini perlu dipatuhi kerana semakin banyak harta yang diminta semakin rapatlah hubungan kekeluargaannya. Sekiranya adat ini diingkari, maka menantu lelaki tersebut akan menerima risiko yang berat iaitu boleh dipisahkan daripada isterinya atas arahan ketua adat mengikut pertimbangan yang wajar.

1.7.4    Masyarakat

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1004) ‘masyarakat’ bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu, pergaulan hidup. Golongan manusia yang tinggal di kampung mahupun di kota. Kamus Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dalam Suzanah Binti Mohamad (2008: 18) mendifinisikan ‘masyarakat’ sebagai kumpulan yang hidup dan bergaul bersama di sesuatu tempat iaitu kampung, bandar, pinggir bandar dan lain-lain atau mengikut golongan bangsa atau agama. Menurut Kamus Za’ba lagi, masyarakat juga merupakan hubungan sosial yang terjalin yang mana keseluruhan hubungan sosial yang berlaku di antara kumpulan manusia.

1.7.5    Murut

Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  istilah ‘Murut’ berasal dari akar kata ‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di bukit-bukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  pula menamakan mereka ‘man of wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.

Manakala Headly dalam Ismail Yusoff (1997: 28), mengatakan bahawa perkataan ‘Murut’ di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa. Namun, bukti ini tidak kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja berdasarkan kepada bentuk fizikal orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai bentuk fizikal Anam, Ulu Burma atau Formosa.
Menyentuh sejarah kemunculan masyarakat Murut di Sabah, T.R. Williams dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga 20,000 tahun dahulu telah berlaku penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara China ke Asia Tenggara dan kawasan-kawasan pesisirnya, termasuklah ke Pulau Borneo. Antara mereka yang berpindah dari benua Asia ini (sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000 S. M lagi) terdiri daripada kumpulan etnik yang pada hari ini disebut “Dusun” dan “Murut”. Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan Murut dikatakan dua kelompok yang paling awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) mengatakan bahawa kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang mengamalkan bahasa rumpun Austronesia. Mereka terdapat di kawasan pedalaman kerana pada tahun 1880-an dikatakan penduduk di bandar Sandakan, Lahat Datu, Semporna dan Tawau tidak lagi terdiri daripada penduduk peribumi Sabah.

Menurut Wooley G,.C., (2004: 12) ;
“Murut is a name given by Brunei or other foreigners, and though now generally adopted was not formerly used by the people as a description of themselves or as the proper name of their race. The name of the river on which they lived was (and still is) frequently used as a tribal designation. Ulun Asak was not the name of a single tribe which was afterwards spilt up into Timoguns, Peluans, etc. Asak is a geographical term the Malay Darat, so Ulun Asak-“ A man from Up-country”. (Halaman 12)



Dalam Journal  Federal Department Of Information Malaysia  (1967: 22) memberi takrifan mengenai masyarakat Murut iaitu;
“The Murut are great hunters, using spears, blowpipes with poisoned darts and dogs. Some still practice shifting cultivation, using a seven-year cycle and obtaining by this means a normaly adequate supply of tapioca and hill rice”. (Halaman 22)          
                       

Di Sabah, kumpulan masyarakat Murut ini tidak seragam kerana mereka mengamalkan bahasa dan adat yang berbeza-beza. Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 68), bahasa dan adat inilah yang mengelompokkan mereka kepada kumpulan-kumpulan kecil. Sekurang-kurangnya terdapat dua rumpun besar dalam masyarakat Murut. Pertama, Murut dataran tanah rendah dan kedua Murut dataran tanah tinggi. Murut tanah dataran tanah rendah diklasifikasikan kepada Timugon, Nabai dan Baukan manakala Murut dataran tanah tinggi ialah Tahol, Paluan, Dalit, Sepulut, Sumambu, Alumbis, Okolod dan Slalair.

Walaubagaimanapun, terdapat penulis lain yang mengklasifikasikan masyarakat Murut kepada beberapa subetnik. Misalnya, Lita Lasimbung dan Stella Moo-Tan (1997: 45) telah membahagikan Murut kepada subkumpulan iaitu Baukan, Gana, Kalabakan, Okolod, Paluan, Selungai, Serudung, Tagal, Timugon, Murut Beaufort dan Murut Keningau. Mereka juga mengatakan bahawa pada tahun 1977, jumlah masyarakat Murut di Sabah dianggarkan sebanyak 40,000 orang.
1.7.6    Tagal

Istilah ‘Tagal’ digunakan untuk menggambarkan salah satu subetnik dari suku kaum Murut di negeri Sabah. Subetnik Murut yang lain seperti Paluan, Baukan, Timugon, Rundum, Nabay dan Kolod. Perbezaan jenis subetnik Murut ini bertujuan untuk membezakan identiti antara satu sama lain sejak awal kemunculan masyarakat Murut di negeri Sabah. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji istilah Tahol, Tagal, Tagol dan Tagul adalah istilah yang sama. Perbezaan sebutan istilah tersebut wujud disebabkan oleh perbezaan ejaan yang digunakan oleh beberapa orang penulis sama ada oleh penulis Barat atau pun penulis tempatan dalam buku mereka semasa mengkaji masyarakat Murut di Sabah. Walaubagaimanapun, istilah Tahol dan Tagal lebih kerap digunakan oleh penulis barat dalam penulisan tempatan. Meskipun muncul pertentangan istilah, tetapi bila disebut Tagal sama juga dengan Tahol dan Tahol adalah Tagal. Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 77), pengelasan masyarakat Murut dan suku kaum Murut lainnya digunakan oleh penulis-penulis barat adalah di luar bidang pengetahuan masyarakat Murut sendiri.

Harris dalam dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 77), perkatan Tahol merujuk kepada nama sungai yang diduduki, iaitu Sungai Tahol atau Tagal. Apabila mereka berhijrah ke tempat lain, mereka digelar orang Tahol atau Tagal. Oleh itu, jelaslah seperti yang dikatakan oleh pengkaji bahawa perbezaan istilah tidak melambangkan perbezaan maksud atau asal usul. Apa yang penting bahawa istilah Tahol atau Tagal adalah sama sahaja yang merujuk kepada sebatang sungai yang diduduki oleh mereka. Murut Tagal kebanyakannya tinggal di kawasan barat daya Sabah sehingga ke bahagian selatan Kalimantan Indonesia. Tempat ini merangkumi kawasan Pensiangan, Sepulut, Nabawan, Keningau, Tenom, Kemabong, Rundum, Tomani dan Sapitang.
                                                                                                                              
1.7.7     Daerah Sepulut

Maksud daerah ialah kawasan petempatan penduduk atau kawasan kampung-kampung yang luas. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 300) daerah ialah kawasan yang berada di bawah sesuatu pengaruh (kekuasaan, keadaan) atau juga kawasan yang mempunyai iklim, penduduk dan hasil.

Manakala daerah Sepulut merupakan sebuah kawasan di pedalaman Sabah yang diduduki oleh suku kaum Murut Tagal. Daerah Sepulut terletak di antara daerah Pensiangan dan daerah Nabawan, Sabah. Daerah Sepulut terletak kira-kira 250 km dari bandar Keningau dan 100 km dari pekan Nabawan. Dalam peta negeri Sabah, daerah Sepulut terletak di bahagian Selatan bersempadan dengan Sarawak dan Kalimantan dan berada di pertengahan jalan antara Keningau dan Tawau. Malah, Daerah Sepulut juga merupakan laluan utama jalan raya separuh bertar yang terdekat dari Kota Kinabalu ke Tawau. Batu Punggul yang terletak di bahagian hulu Sungai Sepulut merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tarikan dan tumpuan utama pelancong asing dari luar negara misalnya dari Australia, Amerika Syarikat, Russia, Kanada, Jerman, Perancis dan negara Eropah lain.
Antara penduduk terawal yang menduduki daerah Sepulut ialah suku kaum Murut Tagal. Pada awal kewujudan daerah Sepulut, jalan penghubung utama ialah jalan sungai yang mengalir dari utara Batu Punggul ke selatan daerah Pensiangan dan sungai itu dinamakan “Sungai Sepulut”. Masyarakat Murut yang terawal sampai ke daerah Sepulut gemar mendirikan rumah panjang serta hidup dalam keluarga besar yang harmoni iaitu antara lima hingga sepuluh buah keluarga yang menghuni sebuah rumah panjang. Rumah panjang didirikan di pinggir Sungai Sepulut kerana mudah bagi mereka melakukan aktiviti seharian seperti menangkap ikan, mandi, cuci kain dan mendapatkan sumber bekalan air. Pada masa sekarang, masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut lebih gemar tinggal di rumah persendirian dan hanya akan balik ke rumah panjang sekiranya ada keramaian seperti perkahwinan dan kematian.

Dalam http://en.wikipedia.org/wiki/Sapulut telah menjelaskan bahwa ;                       
Sapulut is a town along Sapulut River in the Interior Division of Sabah, Malaysia. Mount Antulai (1713 metres) is located about 5 kilometres from the town. Nearby the town is the Batu Punggul limestone massif and cave, a popular spot for eco-tourists. The proposed new highway connecting Sapulut and Kalabakan in the Tawau Division is expected to be completed in mid-2007, and when completed will make road travel between Kota Kinabalu and Tawau easier and faster”.

Oleh itu, di sepanjang “Sungai Sepulut” dari hulu sungai ke hilir sungai wujud kampung-kampung yang berasingan antara satu sama lain. Antara kampung-kampung tersebut ialah Kampung Tataluan, Kampung Kambubulawan, Kampung Sandukan, Kampung Naipai, Kampung Maatol, Kampung Samuran, Kampung Labang, Kampung Naturan, Kampung Liningkar, Kampung Simatuoh, Kampung Bukokoh, Kampung Tonomon, Kampung Bigor, Kampung Kainggalan dan Kampung Tampak Ri Kailau. Setiap kampung mempunyai ketua kampung yang berperanan sebagai penasihat adat dan tempat rujukan anak buahnya bagi menjaga dan mengawal keharmonian kampung di bawah jagaannya.

1.7.8        Sabah

Menurut Rm. Jasni (1965: 11) asal usul nama Sabah ini telah menjadi satu perbincangan di kalangan peminat-peminat sejarah. Ada yang berpendapat, perkataan Sabah itu asalnya dari perkataan Sabak iaitu tempat orang memasak gula tebu, tetapi tidak dinyatakan di mana letaknya Sabak tebu itu. Apa yang didakwa ialah pada zaman dahulu banyak terdapat usaha memasak gula tebu di negeri ini. Ada pula pendapat lain yang mengatakan bahawa Sabah itu berasal daripada perkataan seberang kerana diambil dalil kononnya pada zaman dahulu semasa orang-orang dari Semananjung Tanah Melayu dan dari Sulu, belayar ke Sabah ini, mereka berkata mereka hendak belayar ke seberang  (ke Sabah). Menurut beliau lagi, ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa Sabah itu bererti “Utara”. Orang-orang yang mahir dalam bahasa Arab telah mentafsirkan “Sab’bat” yang bermakna “Tujoh”, kerana mereka fikir Sabah ialah Pulau Borneo, pulau yang boleh dikatakan sebagai benua yang ketujuh besarnya setelah benua Australia. Daripada keterangan-keterangan di atas ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkataan Sabah itu, ialah perkataan yang berjodoh dengan perkataan hulu. Maka daripada perkataan Sabah, terbitlah nama orang Sabah, Kampung Sabah dan akhirnya negeri Sabah. Borneo Utara iaitu nama yang diberikan oleh penjajah kepada negeri Sabah setelah dirasmikan menjadi negeri Sabah pada 31 hb. Ogos, 1963.

Menurut Peter Chay (1988: 12) ;
Sabah, ‘The Land Below The Wind’ is a lush green state criss-crossed by swift flowing and long meandering rivers and lofty mountain ranges. This East Malaysian State with an area of 73, 600 square kilometers, sits on the northern tip oh the island of Borneo, encompassed by three seas the South China, Sulu and Celebes Seas. It is blessed by one grand feature Mount Kinabalu. ‘The Land Below The Wind’ was given by seafarers long ago, reflecting Sabah’s geographical position, just south of the typhoon belt which blights the Philipines. (Halaman 12)

Berdasarkan peta negeri  Sabah, terdapat beberapa kawasan petempatan yang menjadi kawasan tumpuan utama penduduk bumiputera  iaitu di kawasan Kudat, Kota Merudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Kundasang, Ranau, Papar, Tambunan, Telupid, Sandakan, Sukau, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Beaufort, Kota Klias, Labuan, Keningau, Tenom, Long Pasia, Pensiangan dan beberapa kawasan kecil yang lain. Selain itu, terdapat juga pulau-pulau yang menjadi tumpuan kawasan petempatan penduduk di Sabah misalnya pulau Lankayan, Mataking, Sipadan, Labuan, Mengalum, Tiga, Layang-layang, Mantanani dan banyak lagi.
           
Di negeri Sabah, terdapat tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara misalnya di Gunung Kinabalu, Simpang Mengayau, Rungus Longhause, Turtle Island Park, Poring Hot Springs, Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Comantong Cave, Madai Cave, Danun Valley, Murut Cultural Centre, Padas Rafting, Agriculture Park,Tambunan Rafflesia Centre, Tawau Hills Park, Sepilok Orang Utan Sanctuary, Monsopiad, Kota Belud Tamu dan banyak lagi tempat-tempat pelancongan yang menarik di Sabah khususnya pulau-pulau yang bersih dan indah. Boleh dikatakan setiap kawasan utama di negeri Sabah mempunyai pusat pelancongan yang menarik dan unik.

1.7.9    Kajian

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 657) ‘kajian’ ialah kegiatan atau usaha mengkaji ataupun kajian tentang sesuatu isu  mengenai institusi, orang dan sebagainya berdasarkan data dan  maklumat terperinci yang dikumpulkan dalam jangka masa tertentu


1.8       Kesimpulan

Adat melambangkan jati diri sesuatu masyarakat atau sesuatu kaum. Tanpa adanya adat, sesuatu kaum seolah-olah hidup dalam ketidaksempurnaan. Adat adalah warisan dari generasi ke generasi seterusnyanya dan menjadi satu kewajipan untuk terus menghidupi dan memelihara adat tersebut. Jika adat itu tidak diamalkan, sesuatu kaum tidak memiliki kebangaan dan kepuasan seperti kaum lain. Adat itu tidak dilahirkan tetapi dicipta oleh masyarakat yang mendukungnya sebagai norma kehidupan. Adat dan kepercayaan ini sangat kuat di kalangan orang-orang tua kerana sebelum terciptanya undang-undang, mereka telah ‘menggubal undang-undang’ mereka sendiri.  Sama seperti kaum Murut Tagal yang tetap dengan adat dari nenek moyangnya lagi. Meskipun adat tersebut tidak sesuai untuk zaman moden sekarang, tetapi amalan adat ini tetap diteruskan sehingga hari ini dan menjadi kebanggan mereka untuk  menghidupi adat tersebut.

3 comments:

  1. Berian sampai mati yang selalu diuar-uarkan dalam masyarakat Murut adalah istilah yang menunjukkan bahawa Kaum Murut mempunyai peraturan mengenakan bayaran berian (Mas Kahwin) seumur hidup kepada sesebuah pasangan yang berkahwin dengan Kaum Murut.
    Istilah “BERIAN MATI” atau pemberian berbentuk barangan seumur hidup dalam kalangan Kaum Murut adalah TIDAK BENAR seperti yang diketahui umum.
    Istilah berian mati ini timbul apabila pihak ibu-bapa mentua seseorang itu datang membantu dalam melakukan apa-apa kerja anak menantu mereka seperti membersihkan ladang, membantu menjayakan majlis keramaian dan sebagainya.
    Maka pihak menantu wajar untuk meberikan imbuhan seperti memberi barangan atau wang ringgit kepada mereka. Pemberian barangan atau wang ringgit itulah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai berian mati dan bukannya meminta atau mengambil apa-apa barangan yang disukai apabila datang melawat ke rumah menantu.
    Selain itu, berian mati wujud apabila menantu lelaki tidak dapat melunaskan jumlah berian yang telah diminta semasa majlis perkahwinan. Baki bayaran berian ini akan dibayar secara beransur-ansur sehingga selesai seperti yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.
    Oleh itu, pihak lelaki akan mencari barangan yang diminta oleh pihak ibu-bapa perempuan sehingga berjaya mendapatkan barangan tersebut dan memberikannya kepada ibu-bapa perempuan.
    Adakalanya, memakan masa yang lama bahkan bertahun-tahun mencari barangan antik sebagai hantaran perkahwinan ekoran daripada kesukaran untuk mendapatkan barangan-barangan yang diminta oleh keluarga pihak perempuan tersebut seperti gong(tawak), manik-manik (bungkas), tajau lama (tiluan,binungkul), sumpitan (sapok), padang panjang (pisau sinunsur) dan lain-lain.
    Tanggapan yang salah terhadap ‘berian mati’ perlu diperbetulkan dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana istilah berian mati telah membawa kesan negatif kepada Kaum Murut.
    Ini telah menyebabkan kaum yang lain menganggap Kaum Murut sebagai kaum yang materialistik atau suka mengambil kesempatan atau peluang terhadap anak menentu mereka.
    Sebenarnya pemberian barangan atau saguhati daripada anak menantu kepada ibubapa mertua adalah tanpa paksaan. Pemberian ikhlas dari menantu adalah sebagai membalas budi baik atas bantuan menyiapkan kerja-kerja berat.
    Tiada masalah sekiranya anak menantu tidak memberi sebarang barangan kepada kedua ibu-bapa mertua mereka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete