Wednesday, 9 May 2012

BAB 4 : DAPATAN KAJIAN ADAT BERIAN SAMPAI MATI



 BAB 4


DAPATAN KAJIAN

           4.1       Pengenalan

Masyarakat Murut merupakan kaum ketiga terbesar di negeri Sabah dan masih berpegang kuat kepada adat. Adat yang diwarisi daripada zaman nenek moyang menjadi ikutan  dan diteruskan sehingga hari ini iaitu amalan adat ‘Berian Sampai Mati’.  Adat ‘Berian Sampai Mati’ merupakan adat yang sangat popular dan sudah sebati dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di negeri Sabah. Adat ini diamalkan oleh Murut Tagal di kawasan pedalaman Sabah khususnya di daerah Pensiangan, daerah Sepulut dan daerah Nabawan.
           
            Dalam bab ini, pengkaji melakukan pengkajian berkenaan dengan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal yang menduduki kawasan pedalaman negeri Sabah iaitu khusus kepada daerah Sepulut sahaja. Adat ‘Berian Sampai Mati’ mendapat perspektif negatif daripada masyarakat lain di negeri Sabah kerana mereka menganggap bahawa adat ini sangat membebankan kehidupan seharian khususnya pihak lelaki yang baru mendirikan rumahtangga. Timbul persoalan sama ada adat ini masih releven atau pun tidak untuk diamalkan pada zaman moden sekarang. Walaubagaimanapun, seperti pepatah Melayu mengatakan “selagi adat di kandung tanah, selagi itulah adat dijunjung”.


4.2       Konsep ‘Berian Sampai Mati’

Berian atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai ‘mas kahwin” dan dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai “Dowry”. Berian ialah nama yang diberi oleh masyarakat Murut Tagal bagi menunjukkan barang hantaran daripada keluarga  pihak lelaki kepada keluarga pihak perempuan semasa  perkahwinan berlangsung. Misalnya tajau (tembikar), kain sarung, duit, manik-manik, gong, emas dan sebagainya. Oleh demikian, ‘Berian Sampai Mati’ bermaksud mas kahwin atau barang-barang hantaran yang dituntut atau diminta  oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.
           
Menurut Sherwood (1990: 53) setelah pasangan lelaki dan perempuan disatukan melalui perkahwinan, maka ‘berian’ akan bermula dan keluarga pihak perempuan berhak meminta apa saja ‘berian’ atau pertolongan daripada pihak lelaki sehinggalah ke akhir hayat. Berikut adalah pengakuan masyarakat Murut Tagal sendiri yang ditulis oleh Sherwood iaitu ‘We pay until we die’. Maksudnya, masyarakat Murut Tagal akan membayar ‘berian’ hingga ke akhir hayat.

Adat ‘Berian Sampai Mati’ sudah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut  Sabah. Apabila gadis Murut Tagal dikahwini oleh lelaki pilihan keluarga atau pilihan sendiri, ‘berian’ akan terus ditagih oleh keluarga pihak perempuan sampai bila-bila.  Meskipun sudah beranak pinak dan umur menjangkau 30 hingga 90 tahun, keluarga pihak perempuan masih juga meminta ‘berian’ daripada pihak lelaki. Masyarakat Dusun dan masyarakat lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut yang dikahwini memiliki ‘berian’ yang sangat mahal berbanding dengan suku kaum lain di Malaysia.

Adat ‘Berian Sampai Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga sebelah pihak perempuan menghadapi masalah seperti mengadakan upacara 100 hari untuk si mati (habis pantang), ataupun menghadiri perkahwinan sama ada ‘limpuhu’, ‘bului’ dan ‘tinauh’ dalam kalangan saudara-mara. Keluarga pihak lelaki mahupun suami gadis yang dikahwini turut dilibatkan sama dalam kesusahan tersebut. Pihak suami mesti membantu keluarga pihak perempuan dengan memberi mana-mana barang seperti tajau, kain sarung, emas, gong, kain nila, sisitan, duit dan sebagainya untuk diberi kepada keluarga pihak perempuan bagi meringankan beban mereka. Selain ibubapa perempuan yang dikahwini meminta pertolongan, saudara mara pihak perempuan yang lain juga turut melakukan hal yang sama kepada pihak lelaki (suami). Adat ini melambangkan sikap semangat kekitaan, saling membantu dan bekerjasama dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah.

‘Berian Sampai Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjugi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki. Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda ataupun barang tersebut misalnya televisyen, peti sejuk, tajau, radio, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki. Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada bapa dan mak mertuanya. Untuk mengahwini gadis Murut Tagal, pihak lelaki terpaksa bersedia lebih awal untuk menanggung sebarang risiko  yang bakal dihadapi tinggi bagi memenuhi tuntutan ‘berian’ daripada keluarga pihak perempuan. Keluarga pihak perempuan berhak menuntut ‘berian’ apa saja pada bila-bila masa. Pihak lelaki kena akur dengan permintaan daripada keluarga perempuan bagi menjaga maruah keluarga dan perjanjian semasa disandingkan dulu bahawa apa sahaja yang diminta oleh ibubapa perempuan atau saudara maranya yang lain akan dituruti oleh pihak lelaki. 

 4.3      Peraturan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’.

Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ sebenarnya mempunyai beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh masyarakat Tagal di daerah Sepulut. Peraturan pertama, sekiranya pihak lelaki berjaya melunaskan ‘berian’ atau mas kahwin isteri yang dikahwinininya dan ibubapa pihak perempuan berpuas hati. Maka perkahwinan setakat di situ sahaja tanpa ada perkahwinan lain seperti ‘limpuhu’, ‘bului’ dan ‘tinauh’. ‘Berian’ yang sangat penting ialah dua tajau yang dinamakan “Tiluan” dan “Binukul”. Kedua-dua tajau ini adalah buatan tradisional dan sangat berharga bagi masyarakat Murut Tagal. Tajau ‘Tiluan’ diumpamakan sebagai ‘jantung’ manakala ‘Binukul’ sebagai “hati”. Perlembagaan ini menunjukkan betapa tingginya adat masyarakat Murut Tagal.  Dianggarkan harga “Tiluan’ RM 2 ribu manakala tajau ‘Binukul’ RM 1 ribu.

Peraturan kedua ialah sekiranya pihak lelaki dan pasangannya sudah berkahwin dan sudah beranak-pinak tetapi ibubapa pihak perempuan masih tidak berpuas hati dengan ‘berian’ hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki, maka 5 atau 10 tahun kemudian, ibubapa pihak perempuan berhak memanggil sekali lagi menantu lelaki mereka untuk mengadakan perkahwinan adat lama sama ada perkahwinan “Bului” atau perkahwinan “Tinauh”. Mahu atau tidak mahu, suami kepada anak perempuan yang dikahwini terpaksa menyanggupi permintaan mantuanya. Jika tidak, mantuanya berhak megambil semula anak perempuan mereka kerana ‘berian’ yang diminta atau dituntut masih belum mencukupim pada perkahwinan terdahulu.

Peraturan ketiga ialah, sekiranya pasangan lelaki dan pasangan perempuan baru bertunang dan bapa perempuan terus mahu mengadakan upacara perkahwinan“Tinauh” serta menerima persetujuan daripada pihak lelaki maka penghantaran ‘berian’ secara besar-besaran diadakan pada tarikh yang ditetapkan. Maksudnya, perkahwinan ‘amaruli ra bayah’ tidak digunapakai lagi, tetapi terus kepada peringkat perkahwinan yang paling tinggi iaitu perkahwinan “Tinauh” kerana kedua-dua belah pihak sanggup berbelanja besar. Perkahwinan ini merupakan penghantaran ‘berian’ secara besar-besaran daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan dan boleh dianggarkan jumla ‘berian’ mencecah RM 40 atau RM 50 ribu ringgit.

Peraturan keempat, selepas berkahwin suami atau keluarga pihak lelaki mesti menghulurkan bantuan kepada ibubapa keluarga pihak perempuan sekiranya mereka datang memerlukan bantuan. Bantuan yang diberikan oleh pihak lelaki seperti gong, tajau, duit, kain sarung, barang kemas dan sebagainya bagi meringankan beban pihak perempuan apabila mereka menghadapi masalah seperti berlakunya perkahwinan dan kematian saudara-mara. Masyarakat Murut Tagal memegang prinsip bahawa ‘berian’ akan dibayar selagi bernafas atau “We pay until we die”.
           
 4.4      Jenis-jenis ‘Berian’ Masyarakat Murut Tagal

Terdapat pelbagai jenis ‘berian’ atau hantaran masyarakat Murut Tagal, selain berian perkahwinan, terdapat juga berian selepas kahwin yang tidak pernah putus-putus. Pasangan suami isteri sentiasa bersedia setiap masa dari segi ‘berian’ untuk diberi kepada keluarga pihak perempuan yang datang meminta bantuan. Antara jenis ‘berian’ masayarakat Murut Tagal di daerah Sepulut ialah :
i.                    Lembu atau kerbau.
ii.                  Tajau atau ‘sampa’
iii.                Gong atau ‘ahung’
iv.                Kain sarung atau ‘tapi’
v.                  Duit
vi.                Barang kemas (rantai, cincin, gelang, anting-anting)
vii.              Kain Nila atau ‘kain kinayuh’.
viii.            Pakaian Pinongkoloh
ix.                Pakaian (baju dan seluar)
x.                  Barang-barang lain seperti almari, kamera, jam tangan, mesin jahit dan sebagainya.
xi.                Manik-manik seperti ‘Sisitan’, ‘Bungkas’, ‘Salupai’, ‘Pipirot’ dan ‘Rarangkol.


Pada masa dahulu, harga ‘berian’ masyarakat Murut Tagal sekitar ratusan ringgit sahaja. Namun, pada masa ini, harga ‘berian’ yang dijual di kedai tauke Cina di Keningau, Sabah misalnya tajau jenis “Tiluan” berharga Rm 2 ribu ringgit manakala tajau jenis “Binukul” berharga Rm  1 ribu. Malah harga ini akan semakin meningkat hingga mencapai ribuan ringgit. Menurut Zaini Bin Mohd Isa (1969: 88) antara ‘mas kahwin’ masyarakat Murut pada masa dahulu ialah ;
i.                    2 ekor kerbau
ii.                  1 tajau jenis “Tiluan” (bernilai $800)
iii.                1 tajau jenis “Minukul” (bernilai $500)
iv.                1 tajau jenis “Belayong” (bernilai kurang sedikit $300)
v.                  1 buah gong
vi.                1 sumpitan


Menurut Sherwood (1990: 53) antara jenis ‘berian’ masyarakat Murut Tagal  ialah tajau lama (tembikar buatan lama yang sukar diperolehi masa ini), pakaian, duit, gong, barang emas, dan sebagainya seperti telivesyen, gergaji kayu dan satu set barangan karoke. ‘Tinauh’ pula merupakan peringkat akhir penghantaran ‘berian’. Selepas itu, ‘berian’ terus diminta oleh keluarga pihak perempuan sehingga mati. Masyarakat Murut Tagal dalam kajian Sherwood membuat satu kenyataan iaitu ‘We pay until we die’.

Herman  Scholac dalam http://www.flyingdusun. com/004_ Features/005_ Tinauh. htm  Menjelaskan bahawa hantaran ‘berian’ masyarakat Murut Tagal mencecah puluhan ribu ringgit  iaitu dalam lingkungan Rm 40 ribu ringgit. Berikut adalah kenyataannya :
The ‘pulut’ (dowry) for a Murut girl can amount to up to 40,000 Ringgit in heirloom goods and cash, and thus frequently the tina’uh is only held twenty years after the limpoho”. (Halaman 1).
Cyrill (1966: 156-159) mengakui bahawa ‘berian’ perkahwinan masyarakat Murut Tagal sangat unik dan pelbagai. Antara jenis ‘berian’ yang dituntut oleh ibubapa perempuan yang dikahwini ialah gong, tajau, pakaian, duit dan sebagainya. Berikut adalah kenyataannya :
“Gongs, jars, clothes, beads or cash are all acceptable and in some areas it is customary for the prospective father-in-law to indicate beforehand what he wants. Sometime the mother-in-law, too. Will expect her share of presents”. (Halaman 156-159).

Owen Rutter (1929: 212-213) dalam kajiannya mengatakan bahawa perkahwinan masyarakat Murut Tagal memiliki bayaran ‘berian’ yang sangat tinggi dan mahal. Antara jenis ‘berian’ yang diminta oleh ibubapa perempuan ialah tajau, gong, sumpitan (alat memburu binatang), pakaian, manik-manik dan berikut adalah senarai ‘berian’ yang diperolehinya semasa mengkaji perkahwinan masyarakat Murut Tagal di Sabah :
“The bride next gives her consort a token consisting of rice and pickle (fish), whereupon two cooking pots, one gong, a gun or a blowpipe and sundry of small articles are paid by him. The bride gives a second token of forty bamboos of pickle (fish), which is the signal for twenty strings of beeds to be produced. If the bride gives a further token of a pig, this must be acknowledged by a gong. The bridegroom is expected to give his newly acquired bothers-in-law present of a headcloth, loincloth and a necklace each ; they must present him a token in the shape of a fowl, to which he must reply with a jar. Nor is that all, for every relative of the bride at the feast expects to receive a present of some kind-trivial articles auch as knives”. (Halaman 212-213).

Menurut Irrene Benggon Charuruks dan Jennette Padasian (1992: 24), ‘berian’ perkahwinan masyarakat Murut Tagal memiliki harga yang sangat mahal. Misalnya ‘bungkas’ (manik putih) yang digunakan untuk membuat tali pinggang berharga ratusan ringgit. Berikut adalah kenyataan mereka.
“A very expensive ornament worn with this customs is the bungkas, a belt made of several rows of white beads which are quite difficult to find now. It is usually part of the heirloom and is often a component of the bridewealth. A girls family will ask her suitor for a bungkas along with other items and if he does not posses one, he may offer mony in exchange. However, its monetary value is M$10,000”. (Halaman 24).




4.5        Tujuan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’

Terdapat beberapa tujuan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’. Pertama untuk merapatkan hubungan kekeluargaan setelah pasangan suami isteri disatukan melalui perkahwinan. Bagi memastikan hubungan kekeluargaan tidak terputus selepas kahwin, ibubapa perempuan  akan memanggil sekali lagi pihak lelaki untuk mengadakan perkahwinan‘bului’ atau perkahwinan ‘tinauh’ untuk menghantar ‘berian’ secara besar-besaran di rumah panjang pihak perempuan. Ibubapa perempuan akan berasa bangga apabila anak mereka mempunyai hantaran ‘berian’ yang banyak daripada pihak lelaki. Sudah menjadi kebiasaan orang-orang tua mahukan ‘berian’ yang mahal apabila anak gadis mereka dikahwini. Dalam upacara penghantaran ‘berian’ secara besar-besaran ini, berlaku pertukaran. Pihak perempuan akan menyediakan makanan yang secukupnya kepada pihak lelaki, manakala pihak lelaki akan membawa ‘berian’ yang banyak untuk dipersembahkan kepada pihak perempuan. Menurut Sherwood (1990: 55) selepas berkahwin, isteri yang dikahwini akan membantu kakak-kakak suaminya mengerjakan padi bukit dan kebun ubi. Selepas itu, saudara perempuan suami yang ditolong akan menghulurkan penghargaan dengan memberi tajau, kain sarung, gong dan pakaian. Berikut adalah kenyataan Sherwood ;
“Every year the wife-giver is obliged to help the wife taker in the preparation of his rice field. If he himself is not able to go, he must send a substitude. In return for his labour the wife-taker will give the wife-giver a gong, an heirloom jar or some other item of bridewealth”. (Halaman 55)


Tujuan kedua amalan ‘Berian Sampai Mati’ ialah mahu mengangkat martabat keluarga dan nama kampung supaya dikagumi oleh orang lain. Masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut mementingkan nama dan gelaran. Misalnya, sekiranya sesebuah keluarga itu mampu mengadakan adat “Tinauh” untuk anak perempuan mereka yang telah dikahwini, itu memberi seribu kepuasan dan kebanggaan kepada diri sendiri. Anggapan bahawa keluarga ‘hebat’ salah satu harapan untuk meninggikan lagi martabat keluarga dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Sesetengah ibubapa suka  dihormati oleh orang lain dan apabila berjaya mengadakan perkahwinan adat “Tinauh” pasti nama keluarga akan menjadi sebut-sebutan oleh orang lain. Ia seperti pertandingan meninggikan martabat diri sendiri khususnya ibubapa yang memiliki ramai anak perempuan. Menurut pengakuan Uesegi (1990) wakil masyarakat Murut Tagal dalam kajian Owen Rutter (1929: 159), “kami melakukan “Tinauh” kerana kami berasa boring jika tidak melakukannya”. Dalam bahasa Inggerisnya ialah ;
“We do it because life is boring if we don’t”. (Halaman 159.


Tujuan ketiga ialah untuk mendapatkan hantaran ‘berian’ mahal dan barangan buatan tradisional atau barangan asli Murut Tagal yang sukar diperolehi masa ini melainkan dengan perkahwinan ‘bului’ dan perkahwinan ‘tinauh’, misalnya tajau atau “sampa ra lair” iaitu tajau yang bernama ‘Tiluan’, ‘Binukul’, ‘Binalayungan’ dan gong atau ‘ahung’ dan banyak lagi. Dalam perkahwinan“tinauh” setiap keluarga sebelah pihak perempuan masing-masing membuat permintaan  berian’ kepada keluarga pihak lelaki. Jika 30 atau 40 buah keluarga sebelah pihak perempuan, semuanya membuat permintaan ‘berian’ sama ada tajau besar, gong besi, lembu, kerbau, almari, barang kemas, televisyen, kamera, radio, heandphon, duit, jam tangan berjenama dan pelbagai lagi. Keluarga sebelah pihak lelaki pula berusaha untuk menunaikan barang-barang permintaan daripada keluarga pihak perempuan. Sekiranya tidak dapat ditunaikan akan diganti dengan barang lain atau ditukar kepada wang mengikut persetujuan keluarga pihak perempuan yang meminta barangan tersebut. Biasanya, jika keluarga pihak perempuan seramai  30  buah keluarga sebagai tuan rumah, maka keluarga sebelah pihak lelaki juga membawa seramai 30 buah keluarga semasa “tinauh”.  Tuan rumah dan tetamu akan berpasangan untuk memudahkan urusan serah menyerah ‘berian’ atau barang permintaan yang diminta oleh keluarga pihak perempuan semasa berlangsungnya perkahwinan.

Di samping itu, tujuan keempat ialah apabila pihak lelaki masih belum berjaya melunaskan ‘berian’ kepada isterinya semasa perkahwinan pertama iaitu ‘amaruli ra baya’.  Ibubapa perempuan merasakan bahawa ‘berian’ anaknya masih belum mencukupi walaupun sudah 10 tahun atau 20 tahun berkahwin. Oleh sebab itu, baki ‘berian’ yang belum tertunai akan dapat dilunaskan melalui perkahwinan adat ‘bului’ atau perkahwinan ‘tinauh’. Melalui perkahwinan adat ‘tinauh’ segala ‘berian’ yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan dapat ditunaikan. Misalnya tajau yang bernama ‘Tiluan’ dan ‘Binukul’ disamping ‘berian’ yang lain misalnya kerbau, lembu, almari, gong, kain sarung, tajau, barang kemas, sisitan, bungkas, vovok dan sebagainya. Menurut Haris (1995: 148) perkahwinan ‘tinauh’ merupakan perkahwinan yang memiliki martabat paling tinggi dalam kalangan masyarakat Murut Tagal. Bukti kenyataanya ialah ;
The tinau also gives social prestige to the wife-giver. (Halaman 148)

Tujuan kelima ialah apabila ibubapa perempuan mendapati suami anaknya pernah berkelakuan curang terhadap anak perempuan  mereka. Bagi mengelakkan daripada berlakunya penceraian, ibubapa perempuan mahu memberi pengajaran kepada anak menantu lelakinya supaya tidak mencurangi anaknya. Perkahwinan ‘Tinauh’ adalah cara terbaik untuk mengajar menantu lelaki akibat berlaku curang kepada isterinya meskipun sudah beberapa kali mendapat amaran dan nasihat daripada ketua kampung. Sama ada ditolak atau diterima oleh keluarga sebelah pihak lelaki, keluarga sebelah perempuan tetap akan berkeras untuk mengenakan “Tinauh” kepada suami anaknya. Jika ditolak, ibubapa perempuan rela anaknya diceraikan daripada terus dicurangi oleh suaminya. Oleh itu, terima atau tidak keluarga pihak lelaki akan menerima permintaan daripada ibubapa perempuan untuk diadakan “Tinauh” kerana masih sayang kepada isteri dan anak-anaknya. Bila diadakan adat “Tinauh” maka semakin bertambah lagi ‘berian’ yang diberi oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan meskipun sebelum ini ‘berian’ perkahwinan lepas sudah habis diberikan. Menurut Haris (1995: 148) perkahwinan ‘tinauh’ sangat penting dalam struktur sosial pihak lelaki yang berkahwin. Seorang wakil masyarakat Murut Tagal yang ditemuramah oleh Haris mengatakan bahawa orang Murut Tagal yang tidak melaksanakan perkahwinan ‘tinauh’ adalah orang Murut yang bodoh kerana tidak tahu apa-apa. Buktinya ;
“One informant said that people who don’t have a tinau are like “Stupid people, they just don’t know how to do things”. (Halaman 148).



4.6       Peringkat Pelaksanaan Adat ‘Berian Sampai Mati’

Peringkat petama ialah  ‘Anamong’ atau bertunang. Selepas adat merisik  berjaya dilakukan terhadap seorang gadis Murut Tagal yang bakal dikahwini oleh sang teruna, adat bertunang akan diadakan di rumah keluarga pihak perempuan. Selalunya adat bertunang ini dilangsungkan di rumah panjang dan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja. Adat bertunang ini penting untuk memberi tanda kepada gadis yang dirisik tadi bahawa dirinya ‘sudah dimiliki’ dan tidak boleh dirampas oleh mana-mana lelaki lain. Antara  jenis ‘berian’ atau mas kahwin yang dituntut oleh ibubapa keluarga pihak perempuan ialah duit sebanyak RM 100.00, kain sarung  atau ‘tapi’ 10 hingga 30 keping, rantai, cincin, anting-anting, gelang emas, ‘bungkas’ iaitu rantai manik buatan lama, tajau atau ‘sampa’  antara 5 hingga 10 buah, gong atau ‘ahung’ dua atau lima buah dan ‘sisitan’. Jenis ‘berian’ lain adalah mengikut permintaan keluarga pihak perempuan. Dianggarkan perbelanjaan bertunang sebanyak RM 1 ribu atau RM 2 ribu.

Pada peringkat kedua ialah “Amaruli Ra Bayah”. Selepas beberapa minggu bertunang, lelaki akan datang semula ke rumah keluarga pihak perempuan untuk membawa bakal tunangnya pulang ke rumah ibubapanya. Upacara ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat lebih kurang tiga buah keluarga dan mengambil masa selama tiga hari atau selama seminggu. Lelaki dan perempuan yang sudah bertunang sudah boleh tidur bersama sebelum disandingkan. Hal ini dilakukan supaya lelaki ataupun perempuan tidak lagi mencari yang lain atau dalam bahasa murut ‘angkalau’. Ibubapa pihak lelaki membawa bakal menantu ke rumah mereka untuk membantu mak mertuanya melakukan kerja-kerja rumah dan ke kebun seperti mencari kayu api dan mengerjakan kawasan padi bukit. Jenis ‘berian’ yang dibawa oleh pihak lelaki semasa ‘Amaruli Ra Bayah’ seperti tajau, kain sarung, gong, emas, vungkas, sisitan dan duit. Pada masa ini juga pihak lelaki dan pihak perempuan akan berbincang mengenai ‘berian’ yang akan dibawa semasa hari perkahwinan sebenar. Setiap permintaan oleh pihak perempuan harus ditunaikan oleh pihak lelaki.

Berbeza dengan suku kaum lain di negeri Sabah, hantaran ‘berian’ kahwin tidak terlalu mahal berbanding dengan masyarakat Murut Tagal. Sebenarnya, hantaran ‘berian’ ini tidak mampu dilakukan oleh ibubapa pihak lelaki kerana begitu mahal tetapi kerana amalan kerjasama sesama keluarga dititikberatkan sejak zaman nenek moyang lagi maka dapatlah mereka membantu meringankan masalah pihak lelaki. Setiap satu keluarga  di sebelah pihak lelaki akan membawa ‘berian’ dari rumah ataupun yang dibeli sendiri misalnya duit, gong, tajau besar, emas, kain sarung dan kain nila untuk membantu keluarga mereka yang telah berkahwin. Jika ada 30 buah keluarga sebelah pihak lelaki, ‘berian’ yang dihimpunkan ke acara perkahwinan yang dibawa boleh dianggarkan mencapai RM 20 ribu sehingga RM 40 ribu. Walaupun bukan dalam bentuk duit, tetapi harga barang yang dibawa memiliki harga yang mahal misalnya tajau besar buatan lama, gong dan emas semua dibeli dalam harga yang mahal.  Oleh itu, amalan bekerjasama dan bergotong royong sesama keluarga sama ada keluarga jauh atau dekat tetap akan datang membantu. Mereka mengamalkan ada “timbal balas”. Setiap kali dalam kesusahan, sesebuah keluarga yang mempunyai masalah akan memberitahu keluarganya yang lain untuk datang membantu. Dengan cara itu, masyarakat Murut  Tagal dapat meringankan segala bebanan yang dipikul.
Peringkat ketiga ialahLimpuhu’.Limpuhu’. Memandangkan adat perkahwinan masyarakat Murut Tagal berhierarki, maka mereka berkecenderungan untuk mengamalkan perkahwinan ‘Limpuhu’ selepas upacara ‘amaruli ra bayah’. ‘Berian’ yang dibawa oleh pihak lelaki juga sama dengan kahwin biasa. Antara ‘berian’ yang selalu di bawa oleh pihak lelaki ialah  tajau  besar ‘Tiluan” harga RM 1 ribu, tajau besar “Binukul” harga RM 1 ribu, duit “Pamahipusan atau Kapuan Nu Tapi” khusus untuk ibu pengantin RM 1 ribu, tajau besar buatan lama “Binalayungan”  khusus untuk bapa pengantin anggaran RM 1 ribu, lembu atau kerbau antara seekor atau tiga ekor, Tajau besar biasa 5 hingga 10 buah anggaran RM 5 ribu, tajau sederhana besar dan kecil 50 hingga 100 buah anggaran RM 3 ribu, gong besi  atau ‘ahung basi’ 2 hingga 5  buah anggaran RM 5 ribu, gong tembaga 5 hingga 10  anggaran RM 2 ribu, kain sarung 100 hingga 200 keping anggaran RM 1 ribu, barang kemas seperti rantai, cincin dan anting-anting anggaran RM 2 ribu, ‘Sisitan’ 50 hingga 100 utas anggaran RM 1 ribu, kain nila 10 hingga 30 batang anggaran RM 1 ribu, lain-lain permintaan dari ahli keluarga pihak perempuaan dianggarkan RM 5 ribu.

Peringkat ketempat iaituBului’ iaitu perkahwinan kedua tertinggi masyarakat Tagal. Perkahwinan “bului” juga sama dengan penghantaran ‘berian’ yang dibawa semasa perkahwinan  ‘limpuhu’ dan ‘tinauh’. ‘Bului’ dan ‘tinauh’ hampir sama cuma perbezaannya ialah ‘tinauh’ ada ‘sasangiang’ iaitu tempat persandingan yang diukir cantik manakala ‘bului’ tidak disediakan. Biasanya apabila keluarga pihak perempuan tidak mampu mengadakan cara kahwin ‘Tinauh’, mereka menggunakan adat kahwin ‘Bului untuk anak gadis mereka yang dikahwini. Semua hantaran ‘berian’ adalah sama sahaja cuma perjalanan adat itu semasa dilangsungkan adalah berbeza.  Antara ‘berian’ yang selalu dibawa oleh pihak lelaki ialah  tajau  besar ‘Tiluan” harga RM 1 ribu, tajau besar “Binukul” harga RM 1 ribu, duit “Pamahipusan atau Kapuan Nu Tapi” khusus untuk ibu pengantin RM 1 ribu, tajau besar buatan lama “Binalayungan”  khusus untuk bapa pengantin anggaran RM 1 ribu, lembu atau kerbau antara seekor atau tiga ekor, Tajau besar biasa 5 hingga 10 buah anggaran RM 5 ribu, tajau sederhana besar dan kecil 50 hingga 100 buah anggaran RM 3 ribu, gong besi  atau ‘ahung basi’ 2 hingga 5  buah anggaran RM 5 ribu, gong tembaga 5 hingga 10  anggaran RM 2 ribu, kain sarung 100 hingga 200 keping anggaran RM 1 ribu, barang kemas seperti rantai, cincin dan anting-anting anggaran RM 2 ribu, ‘Sisitan’ 50 hingga 100 utas anggaran RM 1 ribu, kain nila 10 hingga 30 batang anggaran RM 1 ribu, lain-lain permintaan dari ahli keluarga pihak perempuaan dianggarkan RM 5 ribu.

Peringkat keempat iaitu iaitu ‘Tinauh’.  ‘Tinauh’ adalah satu istiadat upacara perkahwinan yang berada di hierarki paling tertinggi dalam adat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah. Manakala adat ‘Berian Sampai Mati’ pula adalah kemuncak penghantaran ‘berian’ yang diminta oleh keluarga sebelah pihak perempuan. Kemuncak penghantaran ‘berian’ ini berlangsung selama tiga hari tiga malam ataupun dalam tempoh seminggu. Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 50 tahun, ‘berian’ tetap diberi oleh pihak lelaki kepada sebelah pihak perempuan.  Antara jenis ‘berian’ dibawa semasa istaiadat upacara perkahwinan ‘tinauh’ ialah tajau besar  buatan lama atau “Sampa Lair”  10 hingga 30 buah, gong besi dan gong tembaga  atau ‘Ahung basi atau Ahung Tambaga” 20 hingga 40 buah, tajau sederhana besar  ‘Sampa Nu Kadai’  50 hingga 300 buah, kain sarung atau ‘tapi’ 100 hingga 300 keping, kain nila atau ‘Kain Kinayuh’ 20 hingga 30 keping, lembu atau kerbau 1 hingga 3 ekor, barang kemas atau ‘Amas’ seperti rantai, gelang, cicin dan anting-anting, bungkas atau ‘vungkas, 10 hingga 20 utas, ‘sisitan’ 50 hingga 200 utas dan sebagainya.

Selain ‘berian’ yang disenaraikan di atas, terdapat juga permintaan daripada pihak perempuan yang mesti dipenuhi oleh keluarga pihak lelaki. Permintaan tersebut berupa barang berharga atau duit. Biasanya, saging atau ‘buyuung’ dihantar dan dibahagi-bahagikan kepada keluarga pihak lelaki untuk memenuhi permintaan pihak perempuan setahun atau beberapa bulan sebelum berlangsungnya adat istiadat perkahwinan ‘tinauh’. Sekiranya ada 30 buah keluarga menghantar saging atau ‘buyung’ maka 30 buah keluarga juga daripada pihak lelaki memiliki saging dari pihak perempuan. Setiap satu keluarga ada satu saging, malah lebih dari dua. Mereka berpasangan untuk memudahkan barang yang diminta tertunai oleh keluarga pihak lelaki.   Sehelai kertas diletak di atas saging atau‘buyung’ sebagai simbolik untuk memberitahu hajat barang yang diminta. Antara contoh barang yang diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada pihak lelaki ialah tajau ‘Binalayungan’ (Tajau Buatan Lama), Gong Besi atau ‘ahung basi’, lembu atau kerbau, jam tangan berjenama, barang kemas seperti rantai, cincin, gelang dan anting-anting, duit sebanyak Rm 100 hingga Rm 500, peti sejuk, almari pakaian, astro, televisyen, generator, basikal, motorsikal dan lain-lain

Selain itu, ‘berian’ juga tetap berjalan mekipun selepas kahwin. Misalnya, apabila keluarga pihak perempuan mengalami masalah seperti berlaku kematian, ahli keluarga berkahwin seperti terlibat dengan ‘tinauh, bului, dan ‘limpuhu’, keluarga pihak perempuan akan datang kepada anak perempuan yang telah dikahwini untuk meminta pertolongan. Antara barangan pemberian yang selalu diberi ialah tajau besar atau tajau kecil antara 1 hingga 5, kain sarung antara 2 hingga 10 keping,sisistan’ antara 2 hingga 5, gong antara 1 hingga 3, mana-mana emas dianggarkan RM 500.00, duit dianggarkan Rm 100.00 hingga RM 500.00 sebagai tanda pertolongan daripada pihak suami kepada ibubapa mertuanya ataupun mana-mana saudara keluarga si isteri.


4.7       Kerasionalan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’. 

Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ memiliki kerasionalan yang tersirat tanpa disedari oleh masyarakat Murut Tagal sendiri dan juga masyarakat lain di Malaysia. Belum terdapat kajian yang menjelaskan kerasionalan amalan adat ini secara khusus. Kerasionalan ini dapat dilihat melalui pemupukan nilai murni yang selama ini menjadi tonggak utama dalam amalan ‘Berian Sampai mati’ ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1292) rasional ialah alasan munasabah yang mendasari sesuatu tindakan, perbuatan atau pegangan manakala kerasionalan pula ialah sifat atau keadaan rasional.

Menurut Ismail Hamid  (1988: 73) nilai yang disanjung oleh sesebuah masyarakat adalah sistem yang dianggap baik dan dijadikan pedoman tertinggi bagi kelakuan setiap anggota masyarakat. Manakala menurut Syed Husin Ali dalam Siti Aisah Murad (1996: vii) terdapat dua nilai dalam masyarakat Melayu iaitu nilai tradisi dan nilai moden. Nilai tradisi dikatakan mencerminkan kebiasaan perlakuan masyarakat itu. Manakala nilai moden ialah nilai dari Barat yang dianggap negatif dan menyalahi tatasusila Melayu. Masyarakat Murut Tagal juga menggunakan nilai tradisi yang sudah menjadi kebiasaan sejak zaman nenek moyang lagi.

Menurut Awang Sariyan dalam Idris Mohd Radzi dan Dahlia Janan (2006: 12), nilai membawa maksud tindakan, adat, institusi dan lain-lain yang dilihat sebagai cara yang khusus dan dikehendaki oleh sekumpulan manusia, etnik dan yang lain. Nilai murni merupakan nilai yang mempunyai standard moral yang tinggi serta penting kepada sosialisasi perkembangan manusia. Nilai murni menjadi tonggak kepada nilai kekuatan moral, sosial dan kerohanian.
           
            Menurut Othman Puteh dalam Siti Aisah Murad (1996: 25) nilai merupakan unsur yang terdapat dalam semua ajaran moral yang popular dan ia berdasarkan pengiktirafan bahawa individu dalam sesuatu kelompok sosial itu saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru itu, ini mendorong satu-satu tindakan yang memungkinkan individu dan kelompok itu mencapai keperluan mereka. Menurut beliau lagi, nilai juga punya upaya memberi panduan bagaimana seseorang yang ideal itu harus bertindak dalam masyarakatnya. Dengan kata lain, nilai merupakan paradigma rujukan dalam mengawal dan mengatur perlakuan anggota masyarakat.

Justeru itu, amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dapat memupuk nilai kerjasama dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Menurut Abdul Hamid Mahmood Idris Mohd Radzi dan Dahlia Janan (2006: 18), kerjasama ialah usaha yang baik dan membina yang dilakukan  secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat.  Bagi Robert M. Mac Iverpage dalam Hazil Abdul Hamid (1990: 2) masyarakat adalah kumpulan manusia yang mampu bekerjasama untuk mencapai satu tujuan hidup yang sama. Hal ini terbukti dalam masyarakat Murut Tagal apabila salah sebuah keluarga mereka menghadapi masalah misalanya dalam proses peminangan, adat istiadat perkahwinan seperti ‘tinauh’, ‘limpuhu’,  ‘bului’, ‘amaruli ra bayah’ dan upacara kematian. Keluarga yang menghadapi masalah akan dibantu oleh ahli keluarga yang mempunyai pertalian hubungan kekeluargaan. Bentuk bantuan yang diberikan misalnya memberi ‘berian’ seperti tajau (tembikar), gong, kain sarung, duit dan sebagainya untuk dibawa menghadiri sesuatu upacara perkahwinan tersebut. Melalui nilai kerjasama ini, mereka dapat membantu meringankan beban keluarga yang menghadapi masalah. Hal ini jika dilakukan oleh sebuah keluarga tanpa bantuan keluarga yang lain maka beban yang ditanggung amat berat untuk dipikul. Ibarat pepatah Melayu mengatakan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

Di samping itu, nilai bersatu padu dapat dilihat semasa adat penghantaran ‘berian’. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1397) bersatu padu merupakan perikatan atau permuafakatan yang kukuh. Dalam masyarakat Murut Tagal, nilai bersatu padu apabila kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan bersatu-padu untuk mejayakan istiadat upacara perkahwinan. Sekiranya berlaku perkahwinan, pengantin lelaki akan memaklumkan kepada semua keluarganya sama ada keluarga yang tinggal jauh atau dekat untuk membantunya dalam proses penghantaran ‘berian’. Keluarga yang dimaklumkan akan memberi respon yang baik dan mereka akan datang beramai-ramai pada tarikh yang dijanjikan untuk penghantaran ‘berian’ di rumah keluarga pihak perempuan. Mereka membawa tajau, gong, kain sarung, ‘sisitan’, duit dan sebagainya sebagai barang material yang sangat penting dalam penghantaran ‘berian’. Manakala, tuan rumah iaitu keluarga pihak perempuan akan mempersiapkan segala kelengkapan seperti menyediakan bekalan makanan seperti beras, sagu, jeruk ikan, jeruk babi, daging binatang, tapai ubi kayu dan sebagainya yang diperlukan dalam tempoh seminggu supaya mencukupi untuk menampung jumlah tetamu yang ramai.

Selain itu juga, amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dapat mempupuk nilai muafakat dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Menurut Mohd Rosli Saludin (2009: 89) istilah muafakat bermakud keputusan yang dicapai bukan melalui undi paling banyak atau ramai tetapi bulat suara yang agak sama dengan konsep syura dalam Islam. Muafakat adalah perbuatan berkumpul di sesuatu tempat untuk membincangkan sesuatu perkara, masalah ataupun aktiviti, sosial, ekonomi dan politik dikatakan sebagai berkampung. Menurut beliau lagi, contoh teromba mengenai muafakat ialah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Dalam amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ nilai muafakat dapat dilihat semasa proses penghantaran ‘berian’. Misalnya, semasa kedua-dua belah pihak membincangkan jumlah ‘berian’ yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan ke atas anak gadis mereka yang dikahwini. Mereka akan memanggil ketua kampung sebagai orang tengah yang bertanggungjawab mengetuai perbincangan tersebut. Peranan ketua kampung adalah memastikan perbincangan kedua-dua belah pihak berjalan dengan lancar dan tidak berlaku persengketaan berkaitan dengan tuntutan-tuntutan ‘berian’ dari keluarga pihak perempuan. Kedua-dua belah pihak akan bermuafakat untuk mencapai kata sepakat yang dipersetujui oleh dua-dua belah pihak tanpa ‘bertikam lidah’. Perbincangan mengenai ‘berian’ atas persetujuan kedua-dua belah pihak tanpa menyinggung mana-mana pihak. Hubungan kekeluargaan harus dijaga supaya tidak bersengketa. Menurut Owen Rutter (1929: 176), ketua kampung merupakan individu yang sangat penting sebagao orang tengah dalam perbincangan setiap kali berlangsungnya upacara perkahwinan di rumah panjang. Berikut adalah kenyataannya :
“In tradisional villages the headman witnesses the engagement ceremony where the families determine bridewealth payment and also later during the feasts. Where bridewealth is paid. He presides over the rituals that involve a family morning out of the longhouse. People also consult him about breaches in adat, such as incest, so that the offending party may carry out the appropriate vitual and restore harmony”. (Halaman 176).

Disamping itu, amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dapat memupuk nilai bertimbang rasa antara kedua-dua belah pihak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1686) bertimbang rasa bermaksud menaruh atau menunjukkan timbang rasa, belas kasihan, bersimpati dan berlaku adil. Bertimbang rasa dapat dilihat semasa berlakunya perbincangan antara pihak lelaki dan pihak perempuan berkaitan dengan tuntutan-tuntutan ‘berian’ dari keluarga pihak perempuan. Kadang-kadang bila berlakunya perbincangan pasal ‘berian’, keluarga pihak perempuan akan menuntut‘berian’ yang mahal-mahal. Ketua kampung yang mengetuai perbincangan tersebut akan cuba mententeramkan keadaan supaya kedua-belah pihak dapat bertimbang rasa antara satu sama lain mengenai tuntutan ‘berian’ yang dinyatakan oleh pihak perempuan dan yang seharusnya ditunaikan oleh pihak lelaki mengikut pertimbangan kedua belah pihak.

Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ juga dapat memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Menurut Abu Urwah dalam Siti Khariah Mohd Zubir (2008: 111) mendifinisikan tanggungjawab sebagai kewajipan yang harus dilaksanakan atau dilakukan oleh semua orang tidak kira laki-laki atau wanita mengikut fungsi kejadiannya.  Hal ini dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan menuntut ‘berian-berian’ yang mahal daripada keluarga pihak lelaki. Keluarga pihak lelaki sedaya-upaya untuk menunaikan barang material yang diminta misalnya kerbau, tajau (tembikar), gong, barang kemas, almari dan sebagainya. Meskipun mahal, tetapi kerana sikap bertanggungjawab itu membuatkan keluarga pihak lelaki menunaikan segala permintaan daripada keluarga pihak perempuan untuk menjaga hubungan kekeluargaan yang baru terjalin. Selain itu, sikap bertanggungjawab ini juga dapat dilihat melalui sikap tuan rumah iaitu keluarga sebelah perempuan, mereka sanggup bersusah payah masuk hutan memburu binatang untuk membuat jeruk daging, membuat tapai ubi, membuat sagu dan mencari kayu api. Semua persiapan-persiapan ini memerlukan tenaga dan perbelanjaan yang tinggi. Semua ini dilakukan bagi memastikan pihak tetamu dapat dilayan dan diberi makan yang mencukupi semasa mereka menghanatar ‘berian’  pada hari perkahwinan sebenar.

Dalam amalan ‘Berian Sampai Mati’ juga dapat memupuk nilai berbudi bahasa yang tinggi dalam kalangan masyarakat Murut tagal. Menurut Mohd Rosli Saludin (2009: viii) melalui budi orang mengenali masyarakat dan budaya bangsa. Kaitan budi dengan akal dan kebijaksanaan memperlihatkan bahawa norma budaya hidup masyarakat adat sehari-hari adalah penting dengan tingkat kemurniaannya yang tersendiri. Dalam masyarakat Murut Tagal, hal ini dapat dilihat semasa ibubapa atau sanak saudara si isteri datang ke rumah mereka. Si isteri dan si suami akan melayan tetamu yang datang dan ‘minuman tapai’ merupakan hidangan utama sebagai tanda hormat kepada tetamu. Manakala ibubapa atau sanak saudara si isteri yang datang untuk tujuan meminta pertolongan akan menggunakan budi bahasanya yang tinggi bagi menyampaiakan hasrat sebenar. Apabila cara bercakap menggambarkan budi bahasa, si isteri dan si suami bertambah simpati dan akan menghulurkan bantuan misalnya memebri duit, tajau, kain sarung dan apa sahaja yang diminta. Hal ini juga akan merapatkan hubungan kekeluargaan antara kedua  belah pihak.

Selain itu juga, amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dapat memupuk nilai semangat bermasyarakat dalam kalangan Masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Menurut Abdul Hamid Mahmood dalam Idris Mohd Radzi dan Dahlia Janan (2006: 18), semangat bermasyarakat ialah kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat. Contoh ungkapan yang diberi oleh beliau ialah muafakat membawa berkat, bersatu teguh bercerai roboh dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Dalam masyarakat Murut Tagal, semangat bermasyarakat dapat dilihat semasa menghantar ‘berian’ ke rumah keluarga pengantin perempuan, misalnya perkahwinan ‘bului’, ‘limpuhu’ atau pun ‘tinauh’. Keluaga pihak lelaki akan mengumpulkan semua ahli keluarganya, sama ada keluarga yang tinggal jauh atau dekat, mereka akan bersama-sama bersatu untuk membantu keluarga mereka yang berkahwin. Semua keluarga akan masing-masing membawa barang-barang ‘berian’ misalnya tajau, gong, manik-manik, kain sarung dan sebagainya untuk menunaikan tuntutan-tuntutan ‘berian’ yang diminta oleh keluarga pihak perempuan.

Amalan adat “Berian Sampai Mati” juga dapat memupuk nilai hormat-menghormati. Menurut Abdul Hamid Mahmood dalam Idris Mohd Radzi dan Dahlia Janan (2006: 14), hormat-menghormati ialah menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan member layanan yang sopan. Contoh ungkapan yang diberikan ialah yang tua dihormati, yang muda disayangi dan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Masyarakat Murut Tagal terkenal dengan sikap hormat-menghormati. Misalnya, semasa keluarga pihak perempuan datang ke rumah untuk meminta pertolongan, pihak suami akan menghulurkan pertolongan sama ada memberi tajau, kain sarung, gong atau pun duit. Walaupun keluarga pihak perempuan selalu datang untuk meminta pertolongan, suami isteri akan cuba sedaya menolong walaupun mereka dalam kekurangan sewaktu itu.

‘Berian Sampai Mati’ juga dapat memupuk nilai kesetiaan dalam perkahwinan. Perkahwinan yang dibina akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Penceraian dalam kalangan masyarakat Murut Tagal tidak digalakkan. Hal ini kerana masyarakat Murut Tagal ditanam dengan nilai sayang-menyayangi antara suami isteri sejak zaman nenek moyang lagi. Itulah sebabnya ‘Berian Sampai Mati’ kekal pada hari ini kerena mahu mengekalkan hubungan suami isteri hingga ke akhir hayat. Semakin banyak berian yang diberi, semakin rapat hubungan kekeluargaan. Pasangan suami isteri juga akan bersama tidak kira dalam keadaan susah ataupun senang dan hanya kematian yang memisahkan mereka. Menurut Sherwood (1990: 56), dalam masyarakat Murut Tagal sekiranya isteri yang meminta cerai kerana berkelakuan curang, semua ‘berian’ atau hantaran kahwin harus dikembalikan oleh keluarga pihak perempuan kepada keluarga pihak lelaki meskipun sudah memiliki ramai anak. Sebaliknya, jika suami yang mahu menceraikan isterinya kerana suami berkelakuan curang, semua ‘berian’’ tidak akan dikembalikan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki. Sekiranya isteri meminta cerai akibat perbuatan suami yang curang atau melakukan penderaan, ‘berian’ tidak akan dikembalikan kerana suami yang bersalah. Akibat daripada undang-undang adat ini, maka penceraian dalam masyarakat Murut jarang berlaku kerana tidak mampu mengembalikan ‘berian’ yang sudah banyak dibelanjakan. Berikut adalah kenyataan Sherwood ;
“When a man divorces his wife, there is no repayment of bridewealth by the wife’s father. The husband is required to give the woman enough money to return to her father, and generally the children go with their mother. If the man at a later time wants to remarry his formet wife, he must pay a full bridewealth”. (Halaman 56).
“However, in two situations a woman may leave he husband and no repayment of bridewealth is required. In the first instance, if a woman runs away from her husband and later wants to return but her husband refuses to take her back, it is as if the husband has divorce his wife, and ther is no repayment of bridewealth”. (Halaman 56).
“The second case concerns adultery. Traditionally, if a man committed adultery, he paid his wife’s father an heirloom jar. If the woman committed adultery her father paid her husband a pig. If the husband commits adultery three times, the woman can return to her father, and it is as if the husband has divorce his wife. There is no repayment of bridewealth”. (Halaman 56).

Akhir sekali, amalan adat “Berian Sampai Mati” dapat memupuk nilai semangat kekeluaragaan. Menurut Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 85-86) masyarakat Tagal mementingkan hubungan kekeluargaan. Mereka cuba mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan cara perkahwinan. Mereka tidak menggalakkan perkahwinan antara bangsa lain. Nilai semangat kekeluargaan  sangat  kuat dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di dareah Sepulut. Semangat kekeluargaan tertanam sejak zaman nenek moyang lagi. Sekiranya salah seorang keluarga yang berkahwin, mesti keluarga yang mempunyai pertalian darah akan datang membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan pertolongan. Sehingga hari ini, semangat kekeluargaan ini sangat utuh dalam kalangan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Semasa upacara mengebumikan mayat, semua ahli keluarga akan datang berkumpul ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir dalam tempoh satu minggu atau lebih dengan membawa gong, tajau, kain sarung, sisitan untuk diberi kepada tuan rumah. Tuan rumah pula akan memberi bekalan makanan seperti beras, gula, jeruk daging dan roti kepada tetamu yang datang sebelum bersurai balik ke rumah masing-masing selepas keramaian.





4.8       Kesimpulan

Jelaslah bahawa adat ‘Berian Sampai Mati’ dalam masyarakat Murut Tagal  merupakan adat yang paling unik antara seluruh masyarakat negeri Malaysia. Adat ini sudah menjadi kebiasaan setiap kali seorang gadis dikahwini. Sehubungan itu juga, adat ‘Berian Sampai Mati’ merupakan adat yang mereka cipta, adat yang mereka warisi, adat yang mereka sukai dan adat yang mereka sayangi serta adat yang mereka percayai dan hormati. Oleh sebab ini, adanya sesuatu adat telah mengatur, mengawal dan menyatukan kumpulan masyarakat menjadi masyarakat yang patuh kepada adat tradisi. Adat ini bukan sahaja menyumbang kepada keharmonian sesebuah masyarakat tetapi juga melambangkan jati diri masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut yang berpegang kuat pada adat meskipun zaman semakin maju. Perkembangan zaman tidak mampu menggugat amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ meskipun ramai anak muda yang sudah berhijrah ke bandar mencari peluang pekerjaan. Selagi masyarakat lama berkuasa di daerah Sepulut, selagi itulah amalan adat ‘Berian Sampai Mati’akan terus dipertahankan sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment