Wednesday 9 May 2012

BAB 2 :TINJAUAN LITERATUR ADAT BERIAN SAMPAI MATI



BAB 2



TINJAUAN LITERATUR



2.1       Pengenalan


Bab dua ini membincangkan tentang amalan adat ‘Berian Sampai Mati’  oleh masyarakat  Murut Tagal di Daerah Sapulut Sabah berdasarkan  tinjauan literatur yang pernah dikaji oleh pengkaji lain sebelum ini. Tinjaun ini dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi  dari perpustakaan iaitu melalui buku, tesis, latihan ilmiah, jurnal dan internet. Tinjauan literatur ini menjelaskan lagi dengan lebih mendalam tentang kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji lain sebelum ini yang berkaitan dengan ‘berian’. Hasil kajian mereka ini boleh dijadikan panduan, maklumat serta menambahkan ilmu pengetahuan khsususnya kepada kaum lain yang kurang mengenali adat kaum Murut Tagal di negeri Sabah.

Berdasarkan tinjauan lepas, tiada pengkajian khusus terhadap amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut, Sabah oleh pengkaji lain. Namun, kajian mengenai adat perkahwinan dan jenis berian masyarakat Murut Tagal banyak dikaji terutamannya oleh penulis Barat. Namun, kebanyakan kajian yang dilakukan ditulis dalam bahasa Inggeris. Hal ini kerana, penulis Barat lebih awal membuat kajian terhadap masyarakat Murut Tagal sejak pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1888 hingga 1946 berbanding penulis tempatan yang banyak merujuk kepada hasil kajian Barat. Penulis Barat yang banyak menulis mengenai masyarakat Murut Tagal ialah Pullard, Rutter, Harrison dan Wooley.

Dalam kajian literatur ini, pengkaji tidak membataskan kajian mengenai amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut sahaja, tetapi juga diperluaskan dengan  membuat perbandingan dengan beberapa suku kaum lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Tujuan dibuat perbandingan adalah untuk melihat adanya perbezaan dan persamaan mengenai amalan ‘Berian Sampai Mati’ dengan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah. Dengan mengkaji perbezaan dan persamaan mengenai amalan adat ini menjadikan kajian ini menarik dan berguna kepada generasi masa depan sebagai rujukan utama. Dalam tinjauan literatur ini, pengkaji membuat tinjauan dalam negara dan juga tinjauan luar negara.


2.2       Tinjauan Literatur Dalam Negara

Zaini Bin Mohd. Isa (1969: 88) menyatakan bahawa ibubapa masyarakat Murut Tagal  memikirkan yang anak mereka sudah patut berumahtangga apabila teruna sudah berumur 15 hingga 18 tahun dan gadis paling rendah 13 tahun. Ibu bapa teruna akan menghantar rombongan peminangan. Jika peminangan dipersetujui, mereka akan membincangkan beberapa banyak  ‘berian’ atau “mas kahwin” yang diminta oleh ibubapa gadis itu dan antaranya ialah dua ekor kerbau, satu tajau jenis “Tiluan” bernila $800, satu jenis “Minukul” bernilai $500, satu tajau jenis “Belayong” bernilai kurang sedikit $300, satu buah gong dan satu sumpitan.

Zaini Bin Mohd. Isa (1969: 102-102) juga mengatakan bahawa perkahwinan ‘tinau’ adalah masa bagi pihak lelaki menjelaskan hutang-piutang apa yang terbabit dengan ‘berian’ atau  ‘mas kahwin’ yang mana telah dipersetujui dahulu. Mengikut adat Murut, sekiranya pihak lelaki enggan atau tidak mampu menjelaskan  maka ibubapa perempuan adalah berhak mengambil anak mereka kembali. Walaupun sekiranya  ‘berian’ sudah dijelaskan maka perkahwinan ‘tinau’ ini diadakan juga. Kononnya sebagai membalas perkahwinan ‘bului’ yang telah diberikan oleh ibubapa perempuan pada masa yang lalu. Pihak lelaki juga dijangka akan memotong kerbau, menyediakan beras, tapai ubi dan jeruk ikan atau jeruk babi untuk dihadiahkan kepada ibubapa dan saudara-mara perempuan selain daripada menjamu mereka. Minum tapai, makan berlaukkan daging, ‘melimbai’ dan tari-menari adalah suatu kemestian di dalam keramaian tersebut.

Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 86) keluarga Tahol atau Tagal adalah keluarga nuklear dan mementingkan kekeluargaan. Mereka cuba mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan cara perkahwinan. Mereka tidak menggalakkan perkahwinan antara bangsa lain ataupun orang luar (vokon). Anak-anak mereka digalakkan berkahwin dengan mereka yang sebangsa atau pahaka. Ini membolehkan ‘berian’ atau ‘pulut’ yang bernilai dapat berpusat dalam kalangan mereka sahaja. Masyarakat Tagal  juga mempunyai tanggungjawab terhadap anak saudaranya (ahaka) sekiranya salah seorang daripada adik beradiknya meninggal dunia, digalakkan adik beradik yang lain atau keluarga terdekat berkahwin dengan jandanya. Sekiranya si mati belum habis menjelaskan berian tersebut. Suatu upacara menjelaskan ‘berian’ diadakan disebut ‘panalaan ra mato’.

Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al.  (2007: 86-88), terdapat dua cara pembahagian ‘berian’ atau ‘pulut’  perkahwinan masyarakat Murut Tahol atau Tagal, iaitu pihak lelaki membawa semua barangan pada hari perkahwinan. Hal ini disebut ‘akilimpuhu’. Kedua, sekiranya pihak lelaki tidak mempunyai cukup ‘pulut’ pada hari perkahwinan, pihak perempuan boleh menangguhkan ‘berian’ secara berperingkat-peringat hingga ke satu tarikh akhir disebut “tinau” walaupun mereka sudah mempunyai anak. Sekiranya si lelaki sudah mati dan pulut masih belum habis dijelaskan maka dia dikira masih berhutang dan sekiranya dia ada anak perempuan dan berkahwin maka segala ‘pulut’ hendaklah diserahkan kepada mentuanya sebagai menjelaskan hutang ‘pulut’ yang tertunggak. Hantaran ‘pulut’ yang tertunggak juga dibuat dengan penuh adat. Penentuan tarikh perkahwinan juga dibuat dengan menggunakan ‘tibuku. ‘Tibuku’ adalah simpulan rotan yang berfungsi sebagai kalendar untuk menentukan tarikh perkahwinan atau tarikh penghantaran ‘berian’ yang diberi oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki. Satu simpulan diibaratkan sebagai satu hari dan sekiranya terdapat 30 simpulan maka ia menggambarkan 30 hari. Pihak pengantin lelaki akan membuka satu simpulan setiap hari sebagai peringatan masa atau tarikh perkahwinannya telah hampir tiba.

Bernard Dompok  dalam  (New Sabah Times, 06 April 2009) pengekalan budaya setiap kaum dan hormat menghormati adat dan budaya kaum lain adalah salah satu cara pengukuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini. Tidak perlu ada undang-undang untuk pengukuhan perpaduan kaum di negara ini tetapi apa yang lebih penting adalah amalan adat dan budaya perlu dipertahankan sebagai landasan untuk mengekal dan mengukuhkan perpaduan kaum. Menyentuh upacara adat perkahwian ‘tinauh’ yang merupakan majlis kemuncak dalam perkahwinan suku Murut di Sabah, adat ini dapat menonjolkan budaya Murut khususnya masyarakat Tagal disamping memberi penjelasan sebenarnya tentang kekeliruan istilah ‘Berian Sampai Mati’ dalam kalangan perkahwinan masyarakat Murut. Selain itu katanya, adat ini juga menjadi tarikan kepada masyarakat antarabangsa dan menjadi produk pelancongan di negeri Sabah dan Malaysia keseluruhannya.                            
(
http://www.upko.org.my/berita/berita2009/dompok_sambut_baik_tindakan_najib_bebas_13_tahanan_isa.html)

Dalam http://malaysiana.pnm.my/01/0105030203sbhmurut_bertunang. htm, sistem meminta 'berian' atau ‘hantaran sampai mati’ berlaku untuk mengukuhkan pertalian antara keluarga kedua belah pihak. Namun adat ini biasanya disyaratkan hanya kepada kaum lelaki sahaja. Keluarga pihak perempuan berhak meminta atau mengambil sesuatu daripada harta atau milik anak menantu lelaki mereka. Adat ini perlu dipatuhi kerana semakin banyak harta yang diminta semakin rapatlah hubungan kekeluargaannya. Sekiranya adat ini diingkari, maka menantu lelaki tersebut akan menerima risiko yang berat iaitu boleh dipisahkan daripada isterinya atas arahan ketua adat. Antara mas kahwin yang biasa diminta oleh ibu bapa pihak perempuan ialah dua ekor kerbau atau lembu, satu tajau jenis Tiluan, satu tajau jenis Minukul, satu tajau jenis Belayung, satu tajau jenis Malalair, sebuah gong dan sebatang sumpitan.

Menurut Ewon Benedick dalam http://upkonisme.blogspot.com/2009/04/ majlis-tinauh-tagol-murut.html, dalam majlis ‘Tinauh’ ini merupakan sebahagian daripada kenduri adat perkahwinan suku kaum Murut Tagal, iaitu merupakan majlis meraihkan penghantaran ‘berian’ yang terakhir oleh keluarga pengantin lelaki kepada keluarga pengantin perempuan. Kalau jumlah ‘berian’ perkahwinan yang dipersetujui ialah RM 20 ribu dan pengantin lelaki hanya menyedikan RM 10 ribu pada mula perkahwinan, maka selebihnya boleh diselesaikan secara berperingkat selepas itu. Jadi kalau ia menghantar ‘berian’ yang terakhir (yang ke-RM 20 ribu itu), maka kenduri adat ini akan diadakan. Ini hanya terpakai bagi mereka yang memilih proses ini. Seperti kata Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Rubin Balang, ianya merupakan option serta menjelaskan bahawa ia bukannya seperti persepsi ‘Berian Sampai Mati’ yang dianggap sebelum ini.


Tradisi perkahwinan kaum Murut pada masa kini sudah berubah, iaitu tajau, pakaian, kain, emas, manik-manik atau harta lain kepunyaan pengantin lelaki dipersembahkan bukannya kepala manusia yang sudah terpenggal lagi. Pakaian tradisi kedua-dua pengantin masih lagi dihiasi dengan bijih manik yang cantik. Pakaian tradisi ini biasanya diwarisi atau dipindahkan semasa perkahwinan.            Upacara perkahwinan ini diadakan di rumah panjang pengantin perempuan atau rumah biasa. Sekiranya perkahwinan diadakan di rumah biasa dan bukannya rumah panjang, maka rumah tersebut perlu diubahsuai sedikit untuk menampung sekurang-kurangnya 150 orang. Ada dalam kalangan saudara-mara atau rakan-rakan kedua-dua pengantin yang akan bermalam selama seminggu bagi merayakan perkahwinan ini. Selain ruangan rumah, dapur perlu diperbesarkan malah halaman rumah juga dibersihkan. Komponen terpenting dalam majlis perkahwinan kaum Murut iaitu ‘tapai ubi’ juga perlu disediakan, daging perlu dikukus dan dicincang malah ahli-ahli keluarga juga perlu dikumpul. Para jemputan yang datang akan disambut dengan pukulan gong yang meriah dan dengan tangan terbuka (http://members.fortunecity.com/agustindelgado/ upacara
_keramaian.html).


Beberapa perbezaan penggunaan konsep ‘berian’ oleh masyarakat Murut Tagal dengan masyarakat lain di Malaysia. Bagi masyarakat Melayu Melaka mereka tidak menggunakan konsep ‘berian’ tetapi menyebutnya sebagai ‘hantaran perkahwinan’. Upacara hantar belanja dijalankan pada tarikh yang telah dipersetujui dan rombongan pihak lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan. Kedua pihak itu selalunya diwakili oleh ketua kampung. Mereka akan saling bertukar hantaran serta iringan setelah kedua pihak menghuraikan janji dan menyelesaikan masalah yang bersangkutan. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk si gadis dan mengikut apa yang telah dijanjikan. Perjanjian biasanya dalam bentuk 'serba satu atau serba dua'. Serba satu bererti persalinan iringan itu setiap jenis dan digubah dalam pelbagai bentuk seperti bentuk itik, burung dan keris. Wang hantaran pula digubah biasanya dalam bentuk buah-buahan ataupun pokok bunga. Sementara itu, iringan lain sering kali turut disertakan adalah bunga rampai, sirih junjung, pahar telur merah dan alat solek. Kesemua kelengkapan yang dibawa oleh rombongan pihak pengantin lelaki disampaikan ke rumah gadis itu. Apabila selesai upacara penerimaan di serambi, iaitu setelah diselesaikan oleh pihak lelaki, hantaran serta iringannya itu diedarkan ke dapur. Ini adalah untuk disaksikan oleh pihak perempuan. Bekas-bekas kosong itu kemudiannya diisikan dengan barang-barang balasan daripada pihak gadis, biasanya kuih-muih, nasi dan lauk-pauk yang akan dibawa pulang oleh rombongan itu untuk si teruna (http://www.pengantin.com.my/v1/index.php/ component/content/article/1-adat-istiadat-perkahwinan/5-adat-istiadat-perkahwinan-orang-melayu-melaka).

Menurut Noor Risma Salfina Muhamad Rozali (2006: 9) masyarakat Dusun di Sabah merupakan kaum  terbesar di Sabah, Masyarakat Dusun dan masyarakat Murut Tagal amat berbeza dari segi adat hantaran kahwin. Bagi masyarakat Murut, hantaran kahwin disebut ‘berian’. Bagi masyarakat Dusun pula, hantaran kahwin disebut ‘nopung’ atau ‘hantaran’. Belanja hantaran kahwin masyarakat Dusun diberi oleh pihak lelaki sebanyak RM 300 manakala mas kahwin yang diterima oleh pihak perempuan ialah sebanyak RM 100. Menurut kajian yang dilakukan, masyarakat Dusun tidak mengamalkan ‘Berian Sampai Mati’ seperti mana yang diamalkan oleh masyarakat Murut Tagal. Dahulu masyarakat Dusun menggunakan kerbau, gong, dan manik-manik untuk hantaran kahwin, tetapi setelah memeluk agama Kristian mereka menggunakan duit atau wang sebagai hantaran kahwin dan rata-ratanya berkahwin di gereja.

Menurut Zaini Mohd. Isa (1969: 23) pada masa dahulu, masyarakat Kadazan semasa pihak lelaki pergi meminang ke rumah pihak perempuan, kedua-dua belah pihak iaitu orang tua-tua akan berbincang mengenai ‘mas kahwin’ yang terdiri daripada gong, chanang, meriam (jenis lama), kerbau, languai (gangsa), kumaggi, tanah dan seumpamanya. Persetujuan ini adalah dibuat untuk disampaikan pada hari perkahwinan. Masayarakat Kadazan juga minum tapai yang diperbuat daripada nasi semasa meraikan kedatangan tetamu. Jelas di sini bahawa, masyarakat Kadazan dan masyarakat Murut Tagal memiliki persamaan dari segi jenis hantaran kahwin dan budaya minum tapai. Bagi masyarakat Kadazan, hantaran kahwin disebut ‘mas kahwin’ manakala bagi masyarakat Murut Tagal adalah ‘berian’. Walaubagaimanapun, masyarakat Kadazan tidak mengamalkan adat ‘Berian Sampai Mati’ seperti yang diamalkan oleh masyarakat Murut Tagal. Penghantara ‘berian’ oleh masyarakat Kadazan hanya sekali seumur hidup dan tidak lagi dituntut oleh keluarga pihak perempuan kepada keluarga pihak lelaki.

Selain Dusun dan Kadazan, terdapat juga perbezaan hantaran kahwin antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Murut Tagal di Sabah. Yap Beng Liang (1993: 75) dalam bukunya bertajuk Orang Bajau Pulau Omadal Aspek-aspek  Budaya telah menjelaskan mengenai hantaran kahwin orang Bajau di Pulau Omadal Sabah. Menurut beliau hantaran kahwin dalam bahasa Bajau disebut ‘isi kahwin’. ‘Isi kahwin’ ini terdiri daripada benda-benda yang wajib diberi oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebelum sesuatu perkahwinan dapat dilangsungkan dan tidak boleh diperlakukan secara sembarangan. Setiap tuntutan pihak perempuan harus dipenuhi oleh lelaki tanpa banyak soal kerana segala ‘isi kahwin’ ditetapkan oleh adat dan keturunan (tuba-an) mereka. ‘Isi kahwin’ yang diterima oleh pihak pengantin perempuan harus sama dengan ‘isi kahwin’ yang telah turun-temurun oleh nenek moyang pengantin perempuan  itu, baik dari segi nilai mahupun jenisnya. Dengan perkataan lain, apa yang diterima oleh pengantin perempuan harus sama dengan apa yang diterima oleh ibunya, tidak boleh lebih atau kurang. Perbelanjaan bagi penghantaran ‘isi kahwin’ ialah antara $200.00 atau $300.00 bagi mereka yang kurang mampu dan perbelanjaan penghantaran ‘isi kahwin’ bagi orang yang berada biasanya lebih daripada $600.00. Mengikut adat Bajau, ‘isi kahwin’ harus dihantar ke rumah datuk nenek pengantin perempuan. Tetapi jika perempuan itu tidak mempunyai datuk atau nenek, maka bolehlah ‘isi kahwin’ itu dihantar ke rumah pengantin perempuan itu sendiri.

Menurut Yap Beng Liang (1993: 75) kandungan ‘isi kahwin’ bangsa Bajau Pulau Omadal terdiri daripada Mahal (mahar) sekitar $80.00, $50.00 dan $40.00, Kabing-ngan bolek (sebentuk cincin emas), Bahsing-ngan (segulung kain putih), Kehampitan (kuih Panyam sejenis kuih kebangsaan orang Bajau sebanyak 300 bijih), Kaukaban lawang (bayaran buka pintu antara $2.00 atau $ 3.00), Sokat (benda pelik misalnya 300 bijih telur penyu, gigi buaya, telur buaya dan  hati nyamuk). Jika benda ini sukar diperolehi akan diganti dengan pisang raja bagi gigi buaya, wang, ayam putih dan pisau bagi telur buaya dan kuih ‘jala’ bagi hati nyamuk. ‘Isi kahwin’ lain ialah Sangbai dimaksudkan sebagai timang-timangan kerana melaluinya pihak perempuan dapat ‘menimbang’ keperibadian pihak lelaki dan membuat keputusan muktamad sama ada pengantin lelaki itu masih boleh diterima atau tidak sebagai anggota baru dalam keluarga mereka atau tidak. Kadang-kadang untuk memenuhi keperluan adat keturunan, pihak perempuan akan meminta barang-barang lain, misalnya sebilah keris atau bujak, kuih dodol yang dibuat daripada lima gantang beras, sehelai sarung daripada benang emas, buatan Bugis.

Menceritakan adat istiadat perkahwinan orang Bajau, menurut Noor Risma Salfina Muhamad Rozali (2006: 33) kemeriahan majlis perkahwinan bergantung kepada kedudukan keluarga pengantin. Keluarga yang berada mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya, tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari bagi keluarga miskin. Masyarakat Murut Tagal menggunakan beberapa pukulan gong semasa menyambut kedatangan tetamu di rumah panjang manakala bagi  masyarakat Bajau mereka menggunakan  beberapa das tembakan senapang yang dilepaskan ke udara sebagai tanda hormat dan alu-aluan akan ketibaan rombongan pengantin lelaki. Mempelai yang turun dari tandu atau kudanya dijulang di atas bahu anggota rombongan atau didukung masuk ke rumah pengantin.


Bagi masyarakat Iranum di Sabah, hantaran atau mas kahwinnya dikenali sebagai ‘betang’. Hal ini berbeza dengan masyarakat Murut Tagal yang menyebut hantaran  sebagai ‘berian’ . Meskipun sebutan berbeza tetapi mempunyai konsep yang sama yang merujuk kepada ‘mas kahwin’. Menurut Datu Bandira Datu Alang (1992: 50), adat penghantaran ‘betang’ (hantaran) dalam masyarakat Iranum terbahagi kepada empat iaitu Adat Besar khusus untuk golongan datu dan syarif, Adat Kedua Besar khusus untuk golongan dumutu. Adat Paling Kecil khas orang bawahan dan keempat Adat Anak Emas khas untuk hamba. Keempat-empat golongan ini sangat berbeza dari segi jumlah ‘betang’ yang dihantar oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Bagi masyarakat Iranum, satu pikul sama nilainya dengan satu ekor kerbau ataupun dinilai dengan sejumlah wang yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Adat Besar khusus untuk golongan datu dan syarif mempunyai betang yang paling banyak sekali. Antaranya ialah 15 pikul dan satu pikul daripada 15 pikul ini diberikan kepada bapa saudara perempuan sebagai pelit, 10 ekor lembu dan boleh diganti dengan wang, satu pikul sewaka dan diberikan kepada nenek perempuan sebelah emaknya, adat a-lima-lima pikul, satu pikul pagupauwan, satu pikul bengak, satu pikul getas a-rirai, satu pikul belanja dapur diberikan kepada tukang masak dan satu pikul dan lima kasinantan adat keramaian. Ringkasnya, ‘betang’ terdiri daripada beberapa ekor kerbau, wang, beras dan apa-apa yang dipersetujui sebelumnya.


Datu Bandira Datu Alang (1992: 50) yang mengkaji sejarah dan adat tradisi masyarakat Iranum di Sabah menulis dalam bukunya bahawa bagi adat resam dan upacara-upacara khas untuk meraikan seorang, masyarakat Iranum merujuk adat resam yang diwarisi oleh mereka daripada datuk nenek mereka yang dinamakan adat warisan. Penentuan kedudukan seseorang mengikut adat masyarakat Iranum amat tegas. Adat yang diwarisi daripada datuk nenek ini mesti diikuti dan tidak boleh dilanggar. Perbuatan melanggar adat ini merupakan sesuatu yang sumbang dan menyeleweng. Lagipun, dalam masyarakat ini sudah termaktub adat istiadat sesuatu strata sosial seseorang itu. Kalau dia daripada golongan datuk akan ada caranya dan adatnya sendiri. Begitu juga kalau dia daripada golongan lain. Sesiapa yang menjalankan sesuatu upacara atau keraian lebih daripada adat yang yang ditetapkan untuk keturunannya maka orang ini disifatkan sebagai mengada-ngada dan mencabuli adat istiadat Iranum. Lebih daripada itu, orang ini juga akan dikutuk oleh orang lain. Bahkan dia boleh didenda mengikut hukum adat kerana dia mengangkat sesuatu yang bukan tarafnya.

Bagi Masyarakat Kokos bukanlah masyarakat bumiputera Sabah. Pihak Inggeris yang membawa masyarakat Kokos ke Sabah atas keperluan tenaga kerja sebagaimana orang India dan Cina di Semenanjung semasa zaman penjajahan Inggeris. Menyentuh mengenai hantaran perkahwinan masyarakat Kokos, ternyata amat berbeza dengan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal. Menurut Noor Risma Salfina Muhamad Rozali (2006: 37), hantaran kahwin masyarakat Kokos di Sabah dipanggil ‘mas kahwin’ yang terdiri daripada wang tunai, barang kemas serta pakaian pengantin perempuan. Adat istiadat perkahwinan dilangsungkan di masjid dan imam yang bertanggungjawab mengahwinkan pasangan pengantin sambil disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak.  Hal ini jelas bahawa adat istiadat perkahwinan masyarakat Kokos mengikut undang-undang Islam dan konsep ‘Berian Sampai Mati’ tidak terdapat pada masyarakat Kokos melainkan masyarakat Murut Tagal sahaja.

Masyarakat Lundayeh dan masyarakat memiliki persamaan dari segi budaya minut tapai dan juga ‘pulut’ atau ‘berian’. Menurut Bilcher Bala dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 228) dipercayai masyarakat Lundayeh juga bekas pemburu kepala pada masa dahulu. Masyarakat Lundayeh juga mengamalkan adat minum tapai atau ‘burak’ yang diproses dari beras. Dalam keadaan mabuk, mereka akan menari beramai-ramai atau “Arang Ukui-Ukui” (tarian beratur) dengan mengelilingi sebuah Ulung Buayeh (Crocrodile Mound) yang mereka bina sempena pesta tersebut.  Menyentuh soal hantaran kahwin,  masyarakat Lundayeh menyebut hantaran kahwin dengan perkataan ‘furut’ atau mas kahwin dan sulang atau permintaan tambahan (biasanya kos kenduri) oleh pihak keluarga si dara daripada keluarga si teruna. Tradisi ‘furut’ ini masih diamalkan sehingga hari ini. Namun, pada masa dahulu, benda-benda yang menjadi binaweh (harta) seperti agong (gong besar), tawak (gong kecil), rubi (tempayan), karit (parang), bau (manik) dan krubau (kerbau) dan sebagainya menjadi bahan intipati ‘furut’, malah kepala manusia juga menjadi bahan ‘furut’. Setelah ‘furut’ dan sulang ditentukan, maka majlis petuduk (pertunangan) akan dimulakan. Selepas tempoh pertunangan, barulah ke irau aweh atau kenduri kahwin. Walaubagaimanapun, sejak menganut agama Kristian, kebanyakan elemen ini telah ditinggalkan  seperti sulang yang dianggap membebankan pihak keluarga si teruna semata-mata dan juga meminum ‘burak’.

Masyarakat Kimaragang yang merupakan keluarga etnik Kadazan-Dusun juga memiliki adat dan kepercayaan hidup tersendiri. Berdasarkan kajian, masyarakat Kimaragan memiliki sedikit persamaan mengenai hantaran kahwin masyarakat Murut Tagal. Menurut Asmiaty Amat dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 268) suku kaum Dusun Kimaragang memiliki konsep berian.   Keunikan dalam berian ialah adanya barang tembaga seperti gong dan juga babi. Selain itu, berian yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan juga berbeza-beza mengikut hubungan yang wujud dalam kalangan mereka. Jika masyarakat Dusun Kimaragang yang berkahwin mempunyai hubungan persaudaraan, berian yang dikenakan ke atas pengantin adalah berbeza. Berikut merupakan petikan novel Pelangi Kehidupan ditulis oleh Welin Ebal dan novelnya dikaji oleh Asmiaty Amat bagi mengambarkan berian masyarakat Kimaragang.
“Ketika Saging berkahwin dahulu, tiga ekor kerbau telah diminta oleh keluarga perempuan…Seekor dipelihara oleh Saging dan isterinya, seekor lagi disembelih ketika berlangsungnya upacara perkahwinan dan seekor sebagai pitas (bayaran kepada mentua lelaki kerana lelaki telah mengahwini pangkat anak saudaranya. Selain itu, berian berupa wang, tilam dan bantal. Babi tujuh ekor kerana Saging bersaudara dengan keluarga perempuan”. (Halaman 24)


Bagi negeri Sarawak, menurut Shantrol Abdullah dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 21) masyarakat Kayan di Sarawak mengamalkan kelas sosial seperti maren, hipui, panyin  dan dipen. Kelas sosial ini mempengaruhi hantaran perkahwinan masyarakat Kayan. Golongan maren dianggap golongan yang agak sempurna kerana digelar golongan raja. Perkahwinan antara golongan maren dengan golongan bawahan tidak digalakkan kerana dianggap sebagai sesuatu yang memalukan memandangkan terdapatnya perbezaan taraf. Seseorang wanita yang terdiri daripada golongan maren akan menerima hantaran kahwin yang lebih tinggi dan mahal berbanding dengan golongan lain. Dalam masyarakat Tagal di daerah Sepulut, perbezaan kelas sosial tidak wujud. Semua masyarakat Murut Tagal mempunyai status sosial yang sama, malah semua masyarakat Murut Tagal mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain dalam sesebuah daerah misalnya daerah Sepulut. Bagi masyarakat Murut Tagal, perkahwinan sepupu satu kali dan sepupu dua kali tidak dibenarkan sama sekali kerana dikhuatiri akan mendatangkan sial kepada keluarga dan tanam-tanaman. Perkahwinan hanya dibenarkan sepupu tiga kali dan juga keluarga dari kampung lain yang satu daerah ataupun dari kampung daerah lain.

Dalam Ensklopedia Dunia Melayu (1997: 64) anggota-anggota bilik dalam masyarakat Iban di Sarawak digalakkan berkahwin dengan sepupu yang tinggal di bilik lain dalam rumah panjang. Meskipun demikian, terdapat juga yang berkahwin di luar rumah panjangnya atau bansanya. Bagi masyarakat Murut Tagal, perkahwinan antara anggota-anggota bilik dalam sesebuah rumah panjang dilarang sama sekali kerana mereka terdiri daripada keluarga yang rapat hubungannya. Semua anggota masyarakat dalam sesebuah rumah panjang menggalakkan perkahwinan berlainan kampung bagi menghindarkan konsep ‘sial’ atau ‘sumbang’.

Menyentuh mengenai nilai yang diperolehi dalam sesuatu adat, menurut Mohd Rosli Saludin (2009: v) Teromba dalam kepimpinan Adat Perpatih lengkap dengan cara hidup masyarakat adat itu sendiri. Dalam teromba terungkap nilai hidup, misalnya berbudi, bertimbang rasa, bertanggungjawab, bersabar, tolong-menolong, bersefahaman, bersatu padu, sama-rata, bermuafakat, berkepimpinan, segan-meyegani, berwaris dan berharta pusaka. Hal ini sama dengan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ yang banyak memupuk nilai hidup yang sangat berguna kepada masyarakat Murut Tagal. Misalnya nilai bantu-membantu, bekerjasama, muafakat, bersabar, bertanggunjawab, berbudi bahasa dan hormat-menghormati. Nilai hidup yang diperolehi ini dapat mengukuhkan lagi pengamalan adat ‘Berian Sampai Mati’ sehingga ke hari ini. Di samping itu juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengekalkan keharmonian masyarakat di daerah Sepulut.


2.3       Tinjauan Literatur Luar Negara

Owen Rutter (1929: 212-213) mengatakan bahawa upacara perkahwinan masyarakat Murut Tagal merupakan upacara perkahwinan yang sangat mahal kerana mempunyai bayaran ‘brian’ yang sangat tinggi. Tapai ubi merupakan bahagian penting semasa upacara perkahwinan. Antara ‘brian’ yang akan dibawa oleh pihak lelaki semasa majlis perkahwinan ialah gong, tajau,kain sarung, rantai emas, ikat pinggan duit syiling, sumpitan, senjata api dan  alat-alat kelengkapan pakaian tradisonal Murut dari kepala hingga ke kaki. Berikut adalah petikan dari buku Rutter :
“Among the Tagal the ceremony is more elaborate and for the bridegroom extremely expensive. Here the payment of the brian, in installments, forms part of the actual wedding ceremony. The rice-beer plays an important part in the proceedings. The marriage being considered to have been celebrated when the brigegroom and bride drink of the liquor the latter has prepared. At this stage the bridegrooms is expected to pay one headcloth, one loincloth, one coat, one bead necklace. The bridegroom’s father then ‘wines’ with the father of the bride or her principal relative and another loincloth is handed over. Then the mothers drink together and one pieces of cloth, a belt of beads, a bead head-dress and a jar are paid. The bride next gives her consort a token consisting of rice and pickle (fish), whereupon two cooking pots, one gong, a gun or a blowpipe and sundry of small articles are paid by him. The bride gives a second token of forty bamboos of pickle (fish), which is the signal for twenty strings of beeds to be produced. If the bride gives a further token of a pig, this must be acknowledged by a gong. The bridegroom is expected to give his newly acquired bothers-in-law present of a headcloth, loincloth and a necklace each ; they must present him a token in the shape of a fowl, to which he must reply with a jar. Nor is that all, for every relative of the bride at the feast expects to receive a present of some kind-trivial articles auch as knives”.(Halaman 212-213).

Irrene Benggon Charuruks dan Jennette Padasian (1992: 24) telah mengkaji mengenai pakaian tradisional Murut Tagal di Keningau Sabah. Menurut kajian yang telah dilakukan, pakaian tradisional Murut Tagal ialah ‘Sempayau Pinongkoloh’ yang diperbuat daripada manik-manik yang dijahit di bahagian depan dan belakang baju dan kain sarung atau ‘tapi’. Kain ‘Pinongkoloh’ berwarna hitam dan dihiasi dengan manik-manik yang berwarni-warni misalnya, putih, merah, kuning dan hijau. Selain itu, Murut Tagal menghasilkan tali pinggan atau pun ‘tirol linggit’ yang diperbuat daripada duit syiling berwarna silver. Barang perhiasan yang paling mahal dan sukar diperoleh pada masa ini ialah “Bungkas” yang boleh dijadikan ikat pinggang dan rantai atau ‘rarangkol’. Pakaian tradisional yang disebut oleh Irrene dan Jennette adalah sebahagian daripada ‘berian’ perkahwinan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah. Berikut adalah kenyataan yang diberikan ;
“A very expensive ornament worn with this customs is the bungkas, a belt made of several rows of white beads which are quite difficult to find now. It is usually part of the heirloom and is often a component of the bridewealth”.(Halaman 24)


Haris, Annete ,. S (1995: 145-148) dalam bukunya The Impack of Christianity On Power Relationships and Social Exchanges : A Case Study of Change Among The Tagal Murut, Sabah Malaysia telah menulis mengenai upacara perkahwinan tinauh yang telah berlaku di Lobu daerah Nabawan pada tahun 1990. Berdasarkan tulisan Harris, Annete, upacara tinauh bermula dengan memotong buluh atau ‘tutulu’ sebelum menaiki tangga Sasangiang dengan menggunakan parang hutan oleh bapa lelaki. Selepas itu, upacara andarawak atau ‘blood sacrifice’ dilakukan dengan mengorbankan seekor ayam berbulu putih. Darah ayam disapu pada kaki pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta orang-orang tertentu. Tujuan andarawak ialah  adat ini bagi memastikan tiada seorangpun yang cedera dan bergaduh semasa berlangsungnya adat perkahwinan tinauh ini. Misalnya ‘this ritual is to ensure that no one will be hurt during the feast and no one will fight during the event’,(Halaman 145). Upacara seterusnya ialah pasangan pengantin akan duduk di tempat duduk yang disediakan di Sasangiang. Gong akan dipukul dan selepas itu bapa mertua lelaki dan bapa mertua perempuan akan memberi nasihat kepada pasangan pengantin. Tuan rumah akan membawa keluar botol arak, gula dan cerut untuk dihadiahkan kepada pasangan pengantin. Para wanita tuan rumah pula akan menghidang minuman dan roti di meja sasangiang. Selepas itu, pasangan pengantin akan memasuki rumah panjang bersama keluarga dari pihak lelaki. Upacara seterusnya ialah upacara buka tapai dan para tetamu perlu membayar setiap tapai tersebut. Selepas membayar, acara minum tapai dimulakan sampai pagi.

Menurut Herman  Scholac dalam http://www.flyingdusun.com/004 s/005__Feature Tinauh.htm adalah seorang penulis persendirian dari Perancis telah menulis perkahwinan adat “Tinauh” dalam blognya. Tulisannya adalah berdasarkan pengalaman dan pengamatannya sendiri semasa menghadiri adat perkahwinan “Tinauh” yang dilangsungkan di Kampung Tataluan salah sebuah kampung paling hulu di daerah Sepulut pada tahun 1998. Berdasarkan tulisannya, Herman telah mencatatkan perjalanan adat perkahwinan “Tinauh”  di Kampung Tataluan dari awal hingga akhir yang berlangsung selama seminggu. Herman mengatakan bahawa adat perkahwinan “Tinauh” merupakan satu perkahwinan yang  tidak dianggap mudah  di Malaysia. Persiapan perkahwinan adat “Tinauh” sangat banyak. Herman juga turut menulis bahawa “Tinauh” merupakan acara terakhir penghantaran ‘berian’ atau “dowry” mengikut adat Murut Tagal di kampung Tataluan daerah Sepulut. Bukti kenyataannya Herman Scholac ialah :

“If you are invited to a Murut Wedding, you should by no means decline. Especially not if it is not just a simple wedding ‘Malay Style’, but a ‘tina’uh', or ‘bului’. Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut. A tina’uh can be held two years after a young man has taken a Murut wife, in a ceremony called ‘limpoho’. This was once the official wedding ritual and procedure of the Sepulut and Pensiangan Murut. Often, the young husband won’t be able to pay his dept so quickly. The ‘pulut’ (dowry) for a Murut girl can amount to up to 40,000 Ringgit in heirloom goods and cash, and thus frequently the tina’uh is only held twenty years after the limpoho”. (Halaman 1)


Menurut Cyrill Alliston (1966: 156-159) mengatakan bahawa budaya perkahwinan masyarakat Murut sangat unik kerana memiliki jenis berian yang unik dan pelbagai jenis. Menyentuh mengenai budaya atau adat minum tapai, Cyrill mengatakan sudah menjadi habit masyarakat Murut Tagal untuk terus minum tapai dan kegunaan tapai ialah selepas berjaya memburu kepala, semasa perkahwinan, semasa kematian, semasa keramaian besar dan juga semasa menyambut tetamu di rumah panjang. Menurut Cyrill Alliston
‘Nothing corresponding to a religious ceremony marks the actual weeding : the emphasis is entirely of the feast, thought the all-important berian, or present from the bridegroom to the father-in-law mus be made. Gongs, jars, clothes, beads or cash are all acceptable and in some areas it is customary for the prospective father-in-law to indicate beforehand what he wants. Sometime the mother-in-law, too. Will expect her share of presents’. (Halaman 156-159).

Menurut Sherwood (1990: 53) bapa berhak mencari calon isteri anaknya yang bukan ada pertalian kekeluargaan, hanya sepupu tiga kali sahaja dibenarkan. Jika berkahwin dengan sepupu satu kali atau dua kali, akan mendatangkan sial kepada keluarga dan juga tanam-tanaman. Setelah mendapatkan calon isteri, harus bertunang dahulu atau ‘antunang’ dengan membawa bungkas (rantai putih) dan tapi (kain sarung) sebagai ‘berian’ atau ‘pulut’. Beberapa minggu kemudian, pihak lelaki akan menghantar ‘berian’ yang disebut ‘akilimpuhu’. Bapa kepada perempuan akan memberi ‘tibuku’ atau kalender Murut Tagal untuk menentukan masa pihak lelaki menghantar ‘berian’ ke rumah pihak perempuan. Biasanya selama 28 atau 30 hari selepas bertunang. Menurut Sherwood, masyarakat Murut Tagal salah satu masyarakat yang mempunyai ‘berian’ perkahwinan yang sangat mahal di negeri Sabah. Antara jenis ‘berian’ ialah tajau lama (tembikar buatan lama yang sukar diperolehi masa ini), pakaian, duit, gong, barang emas, dan sebagainya seperti telivesyen, gergaji kayu dan satu set barangan karoke. ‘Tinauh’ pula merupakan peringkat akhir penghantaran ‘berian’. Selepas itu, ‘berian’ terus diminta oleh keluarga pihak perempuan sehingga mati atau dengan prinsip ‘We pay until we die’.
The Tagal have the reputation of having the highest bridewealth payments in Sabah. The bridewealth consists of heirloom jars, cloth, money, gongs, gold items, and more recently, modern goods such as televisions, chain saws and cassette players. The extended payment of bridewealth throught a series of exchanges and obligations between the wife-giver and wife-taker are a central part of the dynamics of Tagal society. These exchanges begin at the engagement and reach a climax at the tinau ‘final’ bridewealth payment feast’. The wife-taker continues these exchanges after the death of the wife-giver with the wife-giver’s sons, and he continues them throughout his lifetime. Many Tagal comment, “We pay until we die’. (Halaman 53).





2.4       Kesimpulan


Berdasarkan tinjauan literature yang dibuat, jelaslah bahawa tiada pengkajian  khusus mengenai amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang dilakukan oleh penulis dalam negara mahupun penulis luar negara mengenai jenis ‘Berian’ yang digunakan oleh masyarakat Murut Tagal dalam upacara perkahwinan. Disamping itu juga, pengkaji membuat perbandingan antara hantaran ‘berian’ masyarakat Murut Tagal dengan beberapa masyarakat lain di Malaysia. Hasil kajian mendapati terdapatnya persamaan dan perbezaan khususnya berkaitan dengan jenis-jenis hantaran kahwin atau ‘berian’ antara satu sama lain. Perbandingan ini amat releven dengan konsep “Satu Malaysia” yang semakin  banyak mendapat sambutan masa ini. Kajian ini diharapkan dapat meyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Malaysia.

1 comment:

  1. Berian sampai mati yang selalu diuar-uarkan dalam masyarakat Murut adalah istilah yang menunjukkan bahawa Kaum Murut mempunyai peraturan mengenakan bayaran berian (Mas Kahwin) seumur hidup kepada sesebuah pasangan yang berkahwin dengan Kaum Murut.
    Istilah “BERIAN MATI” atau pemberian berbentuk barangan seumur hidup dalam kalangan Kaum Murut adalah TIDAK BENAR seperti yang diketahui umum.
    Istilah berian mati ini timbul apabila pihak ibu-bapa mentua seseorang itu datang membantu dalam melakukan apa-apa kerja anak menantu mereka seperti membersihkan ladang, membantu menjayakan majlis keramaian dan sebagainya.
    Maka pihak menantu wajar untuk meberikan imbuhan seperti memberi barangan atau wang ringgit kepada mereka. Pemberian barangan atau wang ringgit itulah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai berian mati dan bukannya meminta atau mengambil apa-apa barangan yang disukai apabila datang melawat ke rumah menantu.
    Selain itu, berian mati wujud apabila menantu lelaki tidak dapat melunaskan jumlah berian yang telah diminta semasa majlis perkahwinan. Baki bayaran berian ini akan dibayar secara beransur-ansur sehingga selesai seperti yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.
    Oleh itu, pihak lelaki akan mencari barangan yang diminta oleh pihak ibu-bapa perempuan sehingga berjaya mendapatkan barangan tersebut dan memberikannya kepada ibu-bapa perempuan.
    Adakalanya, memakan masa yang lama bahkan bertahun-tahun mencari barangan antik sebagai hantaran perkahwinan ekoran daripada kesukaran untuk mendapatkan barangan-barangan yang diminta oleh keluarga pihak perempuan tersebut seperti gong(tawak), manik-manik (bungkas), tajau lama (tiluan,binungkul), sumpitan (sapok), padang panjang (pisau sinunsur) dan lain-lain.
    Tanggapan yang salah terhadap ‘berian mati’ perlu diperbetulkan dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana istilah berian mati telah membawa kesan negatif kepada Kaum Murut.
    Ini telah menyebabkan kaum yang lain menganggap Kaum Murut sebagai kaum yang materialistik atau suka mengambil kesempatan atau peluang terhadap anak menentu mereka.
    Sebenarnya pemberian barangan atau saguhati daripada anak menantu kepada ibubapa mertua adalah tanpa paksaan. Pemberian ikhlas dari menantu adalah sebagai membalas budi baik atas bantuan menyiapkan kerja-kerja berat.
    Tiada masalah sekiranya anak menantu tidak memberi sebarang barangan kepada kedua ibu-bapa mertua mereka.

    ReplyDelete