Wednesday, 9 May 2012

BAB 5 : KESIMPULAN DAN CADANGAN ADAT BERIAN SAMPAI MATI



BAB 5


KESIMPULAN  DAN CADANGAN

5.1       Kesimpulan

Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah. Selagi masyarakatnya belum moden dari segi pemikiran, adat ini akan terus diwarisi  dari generasi ke generasi seterusnya. Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ menjadi simbol identiti masyarakat Murut Tagal bagi membezakannya dengan masyarakat lain di Malaysia. Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ pernah dicadangkan supaya dihentikan oleh pihak  ketua adat tetapi tidak berjaya. Adat ini tetap juga diteruskan sehingga ke hari ini. Misalnya adat istiadat perkahwinan ‘tinauh’ yang merupakan kemuncak perkahwinan masyarakat Murut. Walaupun sudah berkahwin dan beranak-pinak, perkahwinan ‘tinauh’ tetap juga dijalankan oleh keluarga pihak perempuan terhadap keluarga pihak lelaki yang mengahwini anak gadis mereka. Matlamat utama ialah melunaskan berian yang belum terlunas semasa perkahwinan sebelumnya.

Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ jika dikaji dari segi isi tersiratnya, terdapat nilai-nilai positif yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Misalnya, dapat memupuk nilai bantu-membantu, tolong-menolong, bekerjasama, bermuafakat, bersatu-padu, bertanggungjawab, kesetiaan dan rapatnya hubungan kekeluargaan. Namun, dari mata kasar, amalan adat ini boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut misalnya mebebankan, mengalami kesempitan hidup dan kesukaran untuk mencari sumber pendapatan.

Oleh kerana amalan adat ini dianggap oleh masyarakat Murut tagal salah satu cara yang paling baik untuk mendapatkan barang-barang yang berharga, maka ia diteruskan sebagai satu kebiasaan sejak zaman nenek moyang lagi. Amalan adat ‘berian sampai mati’ ini mula dijalankan apabila anak gadis dikahwini oleh lelaki yang menjadikannya isteri. Selepas berkahwin, pihak lelaki akan bersedia untuk memikul tanggungjawabnya untuk melayan segala karenah ibubapa mertuanya dalam meminta sebarang barang khususnya tajau, kain sarung, kain ataupun duit.


5.2       Cadangan Pengkaji Bagi Menghidupi Adat Masyarakat Murut Tagal

Bagi memperkenalkan adat masyarakat Murut Tagal, beberapa cadangan dibuat oleh pengkaji. Pertama, membukukan adat resam masyarakat Murut Tagal terutama sekali mengenai adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh pihak ketua adat atau sesiapa sahaja yang berminat mengkaji adat ini. Sebelum ini, adat ini hanya disampaikan secara lisan iaitu dari mulut ke mulut oleh ketua adat atau ketua kampung. Generasi muda sekarang ini kebanyakkannya tidak tahu mengenai adat ‘Berian Sampai Mati’. Sekiranya ketua adat sudah tiada, generasi muda akan kehilangan tempat merujuk. Oleh itu, perlu untuk membukukan adat ‘Berian Sampai Mati’ untuk dijadikan dokumen bertulis yang boleh dirujuk pada bila-bila masa. Menurut Ungih (2001)  dalam Zawawi Ibrahim (2001: 108)  salah seorang Murut Tagal di Tenom mengatakan anak-anak muda di zaman moden sekarang, kebanyakan mereka tidak mengingatkan adat Murut atau asal usul mereka kerana zaman sudah moden. Beliau menambah lagi supaya adat resam Murut dibukukan untuk generasi muda di daerah Tenom. Rancangan ini mesti dilakukan supaya bangsa  Murut sebagai bangsa Murut, berjiwa Murut. Tujuannya sebagai bahan rujukan masa depan.

Cadangan kedua ialah menubuhkan bangunan muzium di daerah Sepulut Sabah. Sebelum ini muzium yang mewakili masyarakat Murut hanya terdapat di daerah Tenom, Sabah. Muzium tersebut adalah pusat kebudayaan Murut dan menyimpan barang-barang tradisional Murut seperti tajau, gong dan lain-lain lagi. Ketua adat atau pun masyarakat Murut Tagal seharusnya mendirikan bangunan muzium sendiri bagi menyimpan barang-barang tradisonal Murut Tagal yang sukar di didapati pada masa ini. Misalnya tajau “Binukul”, tajau “Tiluan”, tajau “Binalayungan”, dan barang-barang tradisi lain seperti gong, pipirot linggit, periuk besi, bungkas, pakaian tradisi lengkap pinongkoloh dan sebagainya. Penubuhan muzium untuk mempamerkan kepada masyarakat luar mahupun pelancong luar negara mengenai barang-barang hantaran kahwin atau ‘berian’ masyarakat Murut yang semakin hari semakin sukar diperolehi..

Cadangan ketiga ialah pihak yang terlibat misalnya Pusat Kebudayaan dan Warisan mengambil pendekatan dengan mendokumentasikan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’  supaya menarik perhatian orang ramai untuk memahami dan mengetahui amalan adat ini. Cara ini amat mudah difahami berbanding dengan membaca buku yang belum pasti menerangkan secara jelas mengenai amalan adat ini. Menurut Siti Aidah Bte Hj. Lokin dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et. al (2007: 1)  menerusi kajiannya mengenai pantang larang dalam adat resam dan kehidupan harian suku kaum Bisaya di Sabah diharapkan dapat didokumentasikan sebagai satu khazanah masyarakat yang perlu dipelihara daripada mengalami kepupusan seiring dengan perubahan zaman. Oleh itu, adat masyarakat Murut juga perlu diketengahkan untuk didokumentasikan bagi mempelbagaikan sumber rujukan yang sangat berguna kepada generasi muda dan seluruh masyarakat di Malaysia.
Cadangan keempat ialah pengkaji mencadangkan supaya amalan adat ‘Berain Sampai Mati’  oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut diadaptasikan dalam bentuk novel dengan garapan yang kreatif. Adaptasi boleh dilakukan melalui anjuran pihak ketua adat atau pun secara persendirian oleh sesiapa yang berbakat dalam karya novel kreatif. Hal ini dilakukan oleh Welin Ebal dari masyarakat Dusun Kimaragang. Asmiaty Amat dalam Saidatul Nornis Hj. Nahali (2007: 270) mengatakan bahawa Welin Ebal sebagai seorang pengarang yang lahir daripada suku kaum tersebut telah menggambarkan segala adat kepercayaan masyarakatnya termasuk ‘berian’ dan adat perkahwinan dengan jelas sekali dalam novel yang bertajuk Seluat Meluat dan Pelangi Kehidupan. Sehinggakan novel-novel beliau kelihatannya sebagai sebuah dokumentasi budaya masyarakat Dusun Kimarangang. Melalui pendekatan sosiologi yang digunakan telah berjaya menggunakan segala pengalaman dan pengetahuannya terhadap masyarakat tersebut dalam bentuk karya yang kreatif. Jika hal ini turut dilakukan untuk mengadaptasikan adat ‘Berian Sampai Mati’ ke dalam karya novel pasti menjadi tarikan kepada pembaca untuk mengetahui cerita yang akan dimasukkan. Melalui keterlibatan bersungguh-sungguh pihak pengarang, ia dikatakan mampu menghasilkan sebuah novel yang mampu menonjolkan permasalahan masyarakat melalui hubungan antara struktur atau bahagiannya yang ideal menggunakan bahasa sebagai wadah untuk mengungkapkan mesej, pemikiran dan budaya masyarakat berkenaan.

Cadangan kelima ialah menghasilkan produk kraftangan yang tersendiri. Sejak dahulu lagi masyarakat Murut Tagal terkenal dengan sikap kekereatifan dalam menghasilkan manik-manik yang cantik seperti ‘sisitan, ‘susukur’, ‘gelang’, ‘salupai’, ‘rarangkol’, anyaman yang sangat kreatif seperti sanging atau ‘buyung’, tikar, kelawang, hiasan pakaian tradisional Murut yang cantik dan corak manik yang kreatif dan sebagainya. Selama ini, masyarakat Murut menghasilkan kraftangan dan manik-manik hanya untuk barang hantaran atau ‘berian’ semasa perkahwinan. Pengkaji percaya sekiranya masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut mengadakan produk kraftangan untuk produk pelancongan berdasarkan manik-manik dan anyaman, pastinya akan membawa kejayaan dan keuntungan kepada masyarakat Murut Tagal. Untuk memasarkan produk pelancongan tersebut, harus didirikan sebuah bangunan yang boleh mengumpulkan semua masyarakat untuk mempamerkan produk masing-masing agar tempat tersebut menjadi tumpuan pelancong dan orang luar yang datang melawat atau pun membeli produk kraftangan tersebut.
           
Cadangan keenam ialah ketua kampung atau pun ketua adat seharusnya mewujudkan satu Tabung Kebajikan Masyarakat Murut Tagal Daerah Sepulut untuk membantu sesiapa yang susah bagi mengelakkan bebanan khususnya dalam soal penghantaran ‘berian’. Cadangan ini sudah dilaksanakan oleh masyarakat Murut di Daerah Nabawan dan kesannya amat berkesan. Syarat Tabung Kebajikan ini ialah setiap keluarga yang mempunyai anak lelaki dikenakan bayaran  setiap seorang RM 10 sebulan. Sekiranya dalam keluarga tersebut mempunyai lima orang anak lelaki, maka bapanya harus membayar RM 50 kepada tabung kebajikan kepada ketua kampung atau satu badan pengurusan khas yang bertanggungjawab menguruskan tabung kebajikan  tersebut. Sekiranya salah seorang anak lelaki akan berkahwin di Daerah Sepulut, ibubapanya akan melaporkan kepada tabung kebajikan untuk memohon bantuan kewangan. Jika jumlah tabung kebajikan mencapai 20 puluh ribu, bantuan wang sewajarnya sebanyak 5 ribu. Ketua kampung atau Badan pengurusan kebajikan khas akan bertanggungjawab mengutip yuran keahlian setiap bulan kepada keluarga yang mempunyai anak lelaki. Pengkaji percaya sekiranya tabung kebajikan ini diwujudkan di daerah Sepulut, pasti akan mendatangkan banyak faedah kepada anak laki-laki yang akan berkahwin dan ibubapa juga tidak rasa terbeban pada masa akan datang.

Cadangan terakhir ialah ketua kampung atau ketua adat di daerah Sepulut harus mengadakan mesyuarat sekali sebulan untuk membincangkan amalan adat yang harus dikekalkan atau ditinggalkan mengikut kesesuaian zaman. Sebelum ini ketua kampung atau ketua adat tidak pernah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hal ehwal mengenai amalan adat oleh masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut. Hal ini menyebabkan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ begitu berleluasa di daerah Sepulut dan juga daerah-daerah lain seperti daerah Nabawan dan daerah Pensiangan. Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ perlu diperbaharui supaya tidak membebankan masyarakat Murut Tagal sendiri. Jika dibandingkan dengan masyarakat Dusun, mereka menggunakan wang hantaran kahwin sekitar tujuh ribu atau lapan ribu. Dan selepas itu tidak ada lagi apa-apa hantaran atau ‘berian’ yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan. Sekiranya masyarakat Murut Tagal tidak terikat dengan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ pasti kehidupan mereka akan menjadi senang dan dapat memberi wang yang mencukupi kepada anak-anak mereka berbanding dengan membeli barang-barang ‘berian’ untuk membantu saudara-mara lain yang sentiasa meminta pertolongan hampir setiap minggu.

1 comment:

  1. kebaikn dan keburukn adat resam kaum murut mohon dijelaskan lebih lnjut.tq

    ReplyDelete