Wednesday 9 May 2012

BAB 3 : METODOLOGI KAJIAN ADAT BERIAN SAMPAI MATI



BAB 3




METODOLOGI KAJIAN


3.1       Pengenalan

Dalam bab tiga, pengkaji akan membincangkan secara terperinci mengenai metodologi kajian. Pengkaji akan membincangkan mengenai teori yang digunakan dalam menjalankan kajian tentang adat ‘Berian Sampai Mati’ oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah. Metodologi kajian merupakan salah satu aspek yang penting dalam menjalankan sesuatu penyelidikan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1030), metodologi merujuk kepada suatu sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan, disiplin dan sebagainya. Dalam bab ini, pengkaji menggunakan teori sosiologi untuk melihat dengan lebih mendalam tentang amalan  adat masyarakat Murut Tagal khususnya mengenai ‘berian’ atau mas kahwin. Pengkaji menggunakan teori sosiologi kerana teori ini lebih menjurus kepada kehidupan seharian masyarakat Murut Tagal yang banyak dipengaruhi oleh amalan-amalan  adat lama. Dengan menggunakan teori ini, pengkaji berharap dapat mengkaji dengan lebih mendalam lagi tentang amalan adat oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah.


3.2       Konsep Sosiologi

Menurut Suharto (1991: 1), Sosiologi adalah ilmu yang berkenaan dengan kehidupan bermasyarakat. Dengan kata lain ilmu yang mempelajari tetang kehidupan manusia dalam masyarakat. Orang sering menyebut ‘ilmu masyarakat’. Manakala Groeman dalam Suharto (1991: 5) menyatakan bahawa sosiologi itu adalah suatu ilmu yang mempelajari tindakan-tindakan manusia dalam usahanya menyesuaikan diri dalam suatu ikatan. Bahasa Belandanya ialah ‘studie van de den passende mens group sverband’. Ertinya sosiologi itu adalah suatu ilmu penyesuaian diri, penyesuaian melingkupi menyesuaikan diri terhadap lingkungan geografi, menyesuaikan diri pada sesama manusia dan penyesuaian diri dengan lingkungan kebudayaan sekelilingnya.

Menurut Hazil Abdul Hamid (1990: 43) sosiologi merupakan satu bidang disiplin yang mengkaji sifat dan pertumbuhan masyarakat. Sebagai satu disiplin ia timbul pada abad ke-19 dan mengikut ahli sosiologi ianya diasaskan oleh Augustus Comte (1798-1857) dan Herbet Spenser (1820-1903). Menurut beliau lagi, pada asasnya sosiologi merupakan satu kajian mengenai perlakuan manusia dalam kumpulan atau interaksi manusia dengan manusia, cara bagaimana satu perhubungan itu timbul, berkembang, dan berubah serta apakah kepercayaan dan amalan-amalan yang menjadi ciri kepada perhubungan itu.

Menurut Dame Eileen (2001: 124) menjelaskan bahawa sosiologi ialah ‘Study of society’. Menurutnya  sociology includes the social structure of society, its social institutions and how people live and culture which deals with the ways in which individual behavior, values and attitude are culturally conditioned and how different peoples handle the great life experiences of courtship, marriage, birth, growing up, work, old age and death. Sociology help us to understand social interactions between ourselves and others by subjecting such interactions to critical scrutin’. (Halaman 124)

Bagi Selo Soemardjan dan Soelaeman Soemardi dalam Suharto (1991: 3), dalam buku mereka “Setangkai Bunga Sosiologi” menjelaskan bahawa sosiologi ialah ilmu masyarakat. Ilmu yang mempelajari struktur sosial dan proses-proses sosial, termasuk perubahan-perubahan sosial. Struktur sosial ialah keseluruhan jalinan antara unsur-unsur sosial yang pokok, yakni kaedah-kaedah  atau norma-norma sosial, lembaga-lembaga sosial, kelompok-kelompok dan lapisan-lapisan sosial. Proses sosial ialah pengaruh timbal balik antara pelbagai segi kehidupan politik, segi kehidupan hukum dengan segi kehidupan agama, segi kehidupan agama dengan segi kehidupan ekonomi dan sebagainya.

Swingewood dalam Faruk (1994: 1) mendifinisikan sosiologi sebagai studi yang ilmiah dan objektif mengenai manusia dalam masyarakat, studi mengenai lembaga-lembaga dan proses-proses sosial.  Sosiologi berusaha menjawab pertanyaan mengenai bagaimana masyarakat dimungkinkan, bagaimana cara kerjanya dan mengapa masyarakat itu bertahan hidup. Menurut Alex Inkeles (1982: 34) sosiologi adalah suatu tingkah laku. Ia menghuraikan tingkah laku manusia sezaman atau masa lampau sebagaimana yang kita alaminya sendiri. Pendekatan sosiologi merupakan cabang kajian yang melibatkan manusia dan berusaha untuk memperlihatkan banyak ciri-ciri perbezaan supaya dapat membezakan antara suatu disiplin dengan disiplin yang lain.

Umar Junus dalam Hamzah Hamdani (1988: 65) tanpa sosial tidak ada komunikasi manusia, meskipun masyarakat itu sangat kecil sekali. Ia berhubungan dengan manusia atau kelompok manusia lain. Dan digunakan untuk berkomunikasi dengan manusia atau kelompok manusia lain. Manakala Narwoko dan Suyanto (2004: 3), sosiologi merupakan ilmu tersendiri kerana ia merupakan disiplin ilmu yang bersifat intelektual yang secara khusus dan sistematik dalam mengembangkan pengetahuan tentang hubungan sosial. Dengan erti lain, sosiologi mempelajari tingkah laku manusia sebagai anggota masyarakat bukan kehidupan secara individu. Fokus sosiologi ialah interaksi di antara manusia sehingga terbentukknya satu proses sosial.

Menurut Sherman dan Wood (1979: 4), sosiologi ialah kajian mengenai hubungan manusia dalam dunia kemasyarakatan. Terdapat beberapa soalan mengenai bidang kajian sosiologi ini. Antaranya, mengapa sikap perjudis dan diskriminasi wujud dan menentang kumpulan minoriti? Apa hubungan antara pemerintah dan yang diperintah? Namun ahli sosiologi tidak mempunyai jawapan yang tepat mengenai persoalan di atas. Mereka mempunyai pendapat dan jawapan yang berlainan.

Menurut Ekarini Saraswati (2003: 2), sosiologi berasal daripada kata ‘sosio’ atau ‘society’ yang bermakna masyarakat dan ‘logi’ atau ‘logos’ membawa maksud ilmu. Sosiologi bermaksud ilmu tentang masyarakat atau ilmu tentang kehidupan masyarakat. Sebenarnya, masyarakat itu sendiri merupakan sesuatu lembaga yang melibatkan proses interaksi. Manusia memiliki keunikan tersendiri iaitu bentuk fizikal, perwatakan dan keinginan yang berbeza. Jelasnya, sosiologi merupakan bidang ilmiah yang mengkaji tentang manusia dalam masyarakat dalam proses sosial.


3.3       Pendapat Tokoh Mengenai Teori Sosiologi

Menurut Yoseph Yapi Taum (1997: 56), teori sosiologi sastera mempersoalkan kaitan karya sastera dengan kenyataan. Teori ini sudah dikembangkan oleh Plato pada abab ke-17 dan ke-18 kemudiannya dilebarkan lagi oleh Marx dan Engeles melalui buku mereka Doktrin Manifesto Komunis. Teori ini mengemukakan pendapat bahawa karya sastera merupakan wadah untuk masyarakat menyuarakan pendapat mereka. Teori Marxisme memandang seni sebagai ‘alat perjuangan politik’ kerana ia menekankan aspek pragmatis sastera dan mengabaikan struktur sastera. Ahli-ahli Noemarxis menggunakan falsafah dialektika materialism Marx untuk memberikan definisi dalam aspek ideologi, politik dan ekonomi sebuah masyarakat.

Menurut Zainuddin Fananie (2002: 132) sosiologi adalah ilmu pengetahuan yang objek pelajarannya iaitu berbentuk aktiviti sosial manusia. Sosiologi tidak hanya menghubungkan manusia dengan lingkungan sosial budayanya, tetapi juga dengan alam. Kajian sosiologi sastera yang menonjol adalah yang dilakukan oleh kaum Marxisme yang mengemukakan bahawa sastera adalah refleksi masyarakat yang dipengaruhi oleh kondisi sejarah.

Menurut Codorcet dalam Duncan Mitchell (1982: 12) menyatakan bahawa peringkat pertama tamadun yang dilihat di kalangan manusia ialah sebuah masyarakat kecil yang anggotanya hidup memburu dan menangkap ikan. Mereka  tahu membuat senjata-senjata dan perkakas rumah yang agak kasar untuk kediaman mereka. Namun begitu, mereka telah pun mempunyai bahasa untuk berhubung mengenai keperluan mereka dan beberapa idea moral yang dijadikan undang-undang bersama bagi mengawal kelakuan mereka. Mereka merupakan keluarga yang hidup mengikut adat-adat umum yang menggantikan tempat undang-undang, malah mempunyai satu pemerintahan.

Menurut Umar Junus (1986: 3&19) sosiologi dalam sastera membawa masyarakat melihat karya sastera sebagai dokumen sosiobudaya yang mencatatkan sosiobudaya sesuatu masyarakat pada suatu masa tertentu. Selain itu juga, pegaruh sosiobudaya terhadap penciptaan karya sastera ditumpukan kepada teori pertentangan kelas yang dilandasi oleh teori  Marx. Bermula daripada teori Marx ini, sastera dapat dikesan dari sikap material sebuah masyarakat. Menurut pandangan Marxisme, sesuai dengan pandangan umum pada abad ke-19, sastera adalah refleksi masyarakat dan dipengaruhi oleh sejarah. Setiap zamannya mempunyai masalah pertentangan kelas dan hasil sastera tersebut menyuarakan suara kelas tertentu. Sehubungan dengan itu, teori Marxis menggunakan perspektif sejarah iaitu memahami apa yang telah berlaku dan bertujuan untuk membentuk sesuatu masyarakat yang baru.

Menurut Asmiaty Amat dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et at. (2007: 255) sosiologi ialah telaah objektif dan ilmiah tentang manusia dalam masyarakat. Pendekatan sosiologi cuba meninjau segala aspek masyarakat seperti nilai, kepercayaan, institusi sosial dan worldview sebagaimana yang terpancar dalam sesebuah karya sastera.


3.4       Kaitan Teori Sosiologi Dengan Kajian

Menurut David Reisman dalam bukunya The Lonely Crowd dalam Alex Inkelas (1982: 102) mengemukakan jenis sosial yang berbeza iaitu jenis sosial yang telah berkembang lebih luas daripada mana-mana penjenisan sosiologi yang lain. Menurutnya juga, “Patuh Kepada Tradisi” adalah mereka yang bertingkah lakunya dikawal dari luar berdasarkan kepada norma budaya tradisi, ikatan kekeluargaan, agama, istiadat dan sebagainya. Ciri mereka yang utama ialah patuh kepada tingkah laku luaran yang diakui atau tatatertib komuniti mereka. Konsep “Patuh Kepada Tradisi” berlaku kepada masyarakat yang telah ditanam awal-awal dengan norma oleh orang tua dan diarahkan kepada matlamat yang umum dan matlamat itu telah ditetapkan oleh nasib yang tidak boleh dielakkan.

“Patuh Kepada Tradisi” yang dinyatakan oleh Reisman tadi turut mempengaruhi masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah. Hal ini demikian kerana mereka masih mengekalkan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dalam perkahwinan. Walaupun bertentangan dengan ajaran agama Kristian yang dianuti, mereka masih meneruskan adat ini sehingga hari ini. Masalah ini timbul kerana pemikiran mereka telah ‘dikunci’ oleh generasi yang sebelumnya bahawa adat itu harus diteruskan sehingga menjadi satu kebiasaan  dari satu generasi ke generasi seterusnya. Rentetan itu, masyarakat Murut Tagal sekarang masih mengamalkan adat dan kepercayaan yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka. Misalnya salah satu adat dalam penghantaran ‘berian’ semasa perkahwinan ialah adat pukul gong yang melambangkan kedatangan tetamu dan sambutan tuan rumah. Jenis-jenis ‘berian’ seperti gong, tajau (tembikar), kain sarung atau ‘tapi’, manik-manik seperti ‘sisitan’, ‘vungkas’, barang kemas sebagai hantaran perkahwinan yang wajib dibawa oleh keluarga pihak lelaki untuk dipersembahkan kepada keluarga pihak perempuan. Jika tidak, perkahwinan tersebut akan dibatalkan.

Menurut Duncan Mitchell (1982: 68), terdapat dua ciri penting dalam masyarakat. Antaranya ialah peranan yang dimainkan oleh norma-norma sosial yang dikenali sebagai adat resam kerana anggota masyarakat ini menjadikan adat resam sebagai pengetahuan umum. Mereka tidak payah merujuk kepada pakar undang-undang atau rekod yang bertulis tentang peraturan-peraturan kerana adat resam itu sendiri yang mengaturkan kelakuan sosial. Ciri yang kedua ialah sebahagian adat resam ini berhubung rapat dengan kekeluargaan. Apabila melihat kepada masyarakat Murut Tagal, mereka mempuyai adat resam yang tidak perlu dirujuk dalam dokumen bertulis kerana adat tersebut sudah sedia ada sejak nenek moyang mereka lagi. Misalnya setiap kali berlangsungnya upacara perkahwinan, pihak lelaki mesti membawa jenis-jenis ‘berian’ yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan. Sekiranya salah satu jenis ‘berian’ tidak dapat ditunaikan, seperti ‘sampa Binukul atau sampa Tiluan’ (tajau paling mahal) kemungkinan anak gadis yang dikahwini tidak dibenarkan mengikuti suaminya sehingga ‘berian’ tersebut berjaya ditunaikan oleh pihak lelaki. Selain itu, setiap berlangsungnya perkahwinan, semua keluarga terdekat akan saling bantu-membantu untuk meringankan masalah keluarga yang dibantu dan mereka mengamalkan adat ‘timbal balas’. Setiap keluarga mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama memikul beban keluarganya yang lain terutamanya keluarga  yang mempunyai pertalian darah, umpama pepatah Melayu mengatakan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Menurut Alex Inkeles (1982: 130-134), beliau menyatakan bahawa semua anggota dalam setiap generasi menerima tinggalan budaya yang sama dari generasi yang lalu. Rentetan itu, masyarakat tersebut mudah dihubungkan di antara satu sama lain dan mengkoordinasikan tindakan mereka dengan lebih berkesan. Pemindahan kebudayaan yang dilakukan oleh manusia merupakan peganti kepada naluri makhluk hidup yang lain dilengkapkan dengan cara-cara untuk menghadapi persekitaran mereka dan berhubung di antara satu sama lain. Adat resam merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada cara melakukan sesuatu yang sudah umum bagi mereka yang telah mengamalkan suatu budaya yang tertentu. Perkara ini juga berlaku dalam masyarakat Murut Tagal. Mereka masih mengamalkan adat ‘Berian Sampai Mati’ dan adat ini seolah-olah sukar dipisahkan daripada masyarakatnya. Buktinya, setiap kali anak perempuan dikahwini, ibubapa akan membincangkan ‘berian’ yang dituntut daripada keluarga pihak lelaki. Setiap ‘berian’ yang dituntut harus ditunaikan. Jika tidak, perkahwinan itu akan dibatalkan. Selepas perkahwinan juga, pihak suami bertanggungjawab membantu ibubapa mentuanya sekiranya mentuanya datang meminta pertolongan. Dan apa-apa sahaja barang yang diminta misalnya tajau, gong, kain sarung, manik-manik dan duit semasa ibubapa mertua datang ke rumah anak perempuan mereka, pihak suami seharusnya menunaikan apa-apa sahaja permintaan ibubapa mertuanya sebagai tanda hormat sebagai anak menantu.

Menurut Yura Halim (1993: 4) dalam menyusun, mengatur, mengawal dan mengawasi pengolahan hidup setiap puak atau kumpulan masyarakat, suatu bangsa itu mestilah mempunyai adat, iaitu adat yang mereka cipta, adat yang mereka sukai, adat yang mereka sayangi, adat yang mereka percayai dan yang mereka amalkan serta dihormati. Adat itu mereka asuh dan amalkan pada masa dan ketika berkumpul beramai-ramai. Temasya atau keramaian itu merupakan temasya beradat yang dilakukan dengan peraturan yang terikat kepada adat. Temasya berkumpul beramai-ramai itu ada hubungannya dengan sesuatu objek yang dibuat dengan mengikut adat yang berperaturan yang biasa dijalankan masa ini pada lazimnya kita sebut “Adat Istiadat”. Dalam masyarakat Murut Tagal, antara adat istiadat yang dilakukan yang memerlukan mereka berkumpul beramai-ramai ialah semasa penghantaran ‘berian’ secara besar-besaran iaitu upacara perkahwinan ‘tinauh’ yang berlangsung selama tiga hari atau seminggu. Dalam upacara perkahwinan ini, beberapa adat istiadat yang harus dipatuhi misalnya, sebelum pasangan pengantin menaiki tangga tuan rumah, ketua kampung sebagai orang penting harus memotong buluh yang berisi air. Upacara ini disebut ‘amiris ra tutuluk’ dengan menggunakan parang ‘hayang’. Sambil memotong, ketua kampung akan berkata-kata yang mengandungi unsur nasihat yang ditujukan kepada pihak lelaki dan juga pihak perempuan. Selepas itu, bapa pihak pengantin lelaki dan bapa pengantin perempuan akan memotong buluh sambil berkata-kata yang berunsur nasihat kepada pasangan pengantin. Tujuan memotong buluh ialah bagi memastikan upacara perkahwinan ‘tinauh’ itu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni tanpa berlaku pergaduhan. Selepas itu barulah upacar bersanding, upacara minum-minum tapai, upacara perbincangan mengenai ‘berian’, upacara ‘akilimpor’, upacara ‘anangkaran’, ‘upacara ‘antalang’ dan akhirnya bersurai.

Menurut Mohd Rosli Saludin (2009: 221) adat adalah kebiasaan yang dipakai sehari-hari bermula daripada seorang kemudian menjadi kebiasaan pada sesebuah keluarga dan digunakan pula oleh sesebuah masyarakat. Manakala sesebuah masyarakat telah biasa melakukan sesuatu peraturan, sama ada terjadi dengan sendirinya ataupun terjadi atas muafakat. Ekoran itu, wujudlah satu peraturan yang mesti diapatuhi bagi menjamin keselamatan dan kebahagiaan masyarakat. Bagi masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, peraturan yang diwarisi dari nenek moyang harus diikuti. Jika tidak akan menjadikan masyarakat hilang panduan hidup. Hal yang paling ketara ialah dalam soal penghantaran ‘berian’ yang mesti terdiri daripada tajau (sampa), gong(ahung), kain sarung (tapi) dan manik-manik (sisitan, vungkas, vovok, pipirot, rarangkol, salupai dan holong), kerbau, lembu, duit dan emas. Sekiranya, perkahwinan tanpa adanya ‘berian’ yang disebut tadi akan menyebabkan perkahwinan tersebut dibatalkan oleh pihak perempuan.

Menurut Hazil Abdul Hamid (1990: 3) masyarakat adalah merupakan satu kumpulan manusia yang tinggal di suatu tempat yang sama yang merupakan kumpulan manusia yang telah diikat oleh satu ikatan yang sama iaitu tradisi, adat resam, serta kebudayaan dan mempunyai tujuan bagi mengembangkan zuriat masyarakat. Hal ini bertepatan dengan masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut yang terikat dengan tradisi dan adat resam yang diwarisi dari zaman nenek moyang mereka iaitu amalan adat ‘Berian Sampai Mati’. Amalan adat ‘berian’ ini adalah untuk menyatukan pasangan suami isteri yang berkahwin.  Pengamalan ‘Berian Sampai Mati’ ini akan menjamin kebahagiaan kepada suami isteri hingga ke akhir hayat untuk mengengembangkan zuriat. Malah, perkahwinan masyarakat Murut Tagal jarang berlakunya penceraian kerana sudah diikat dengan ‘berian’ yang banyak dan mahal.
Menurut Marx dalam Mana Sikana (2005: 256) berpendapat bahawa struktur sosial sesebuah masyarakat itu, termasuklah yang berhubungan dengan sistem, peraturan, lembaga, moraliti, kepercayaan, ekonomi, budaya malah masalah kesusasteraan ditentukan atau dibentuk oleh situasi atau kondisi kehidupan. Berdasarkan pendapat Marx, masyarakat Murut Tagal sejak zaman nenek  moyang lagi sangat berhubungan dengan sistem peraturan dan kepercayaan yang diwarisi sejak turun-temurun lagi. Misalnya amalan adat ‘Berian Sampai Mati’. Berdasarkan kepercayaan masyarakat Murut Tagal, Penghantaran ‘berian’ adalah satu kewajipan setiap kali berlakunya majlis perkahwinan. Tuntutan ‘berian’ masyarakat Murut Tagal yang mahal dan pelbagai menandakan harga anak gadis yang dikahwini amat tinggi nilainya dan disayangi oleh ibubapanya. Ibubapa gadis yang dikahwini selalunya sukar untuk melepaskan anak gadis mereka kecuali keluarga pihak lelaki sanggup menunaikan apa sahaja yang dituntut oleh ibubapa pihak perempuan. Selain itu sebarang peraturan yang dilanggar semasa upacara perkahwinan akan menimbulkan masalah seperti pergaduhan dan pertelingkahan semasa minum tapai. Pergaduhan akan merosakkan upacara dan sesiapa yang didapati bersalah akan didenda dengan memberi beberapa seekor ayam, beberapa babi dan duit mengikut jenis kesalahan yang dilakukan sama ada dari pihak tetamu atau pun pihak tuan rumah. Ketua kampung yang akan menetapkan denda.
           
Menurut Asmiaty Amat dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 255) karya sastera diciptakan oleh pengarang untuk difahami, dinikmati atau dimanfaatkan oleh masyarakat. Sastera menampilkan gambaran kehidupan dan kehidupan itu sendiri adalah suatu kenyataan sosial. Oleh itu, karya sastera tidak terhasil dalam vacuo atau kekosongan. Ia bertolak daripada keyakinan bahawa karya sastera tidak boleh dibicarakan secara terpisah daripada masyarakat. Menurut Hippolyte Taine dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 255), sastera ialah akibat daripada tiga unsur penting iaitu masa (moment), bangsa (race) dan alam sekeliling (milieu). Karya bukan hanya hasil seorang pengarang, tetapi yang lebih penting ialah hakikat bahawa ia juga adalah hasil seorang pengarang yang terikat dengan ruang waktu dan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Oleh itu, jelaslah bahawa masyarakat Murut Tagal juga boleh dijadikan bahan karya sastera kerana masyarakatnya kaya dengan pelbagai amalan adat yang unik misalnya amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ yang boleh diadaptasikan dalam bentuk novel kreatif sebagai gambaran sosial yang menarik untuk dibaca.

Menurut Md. Yussop Bakar (1989: 30) adat bertindak sebagai hukuman dan juga mempunyai fungsinya yang tersendiri sebagai alat sosialisasi dan juga kawalan  sosial dalam masyarakat. Kedua-dua aspek ini iaitu aspek hukuman dan juga fungsi adat itu sendiri berlaku dalam rangka hubungan manusia sesama manusia iaitu hubungan sosial dan juga alat tabii dan dengan alam metafizik. Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi “biar mati anak, jangan mati adat”.  Masyarakat Murut Tagal juga memegang teguh adat yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Sesebuah masyarakat tidak akan sempurna jika amalan adat diketepikan dan seolah-olah masyarakat itu tidak mempunyai tamadun. Amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ menjadi adat masyarakat Murut Tagal yang paling utama dalam perkahwinan, tanpa adanya adat ini, perkahwinan tersebut tidak memberi makna yang besar kepada kedua-dua belah pihak.

Menurut Abd Rahim Abd Rashid (2001: 28 & 30) nilai mencerminkan norma hidup sesuatu masyarakat dan menentukan kedinamikan sesuatu budaya dan dapat mencorakkan perubahan kemajuan dan kebanggaan sesuatu masyarakat. Nilai mencorakkan kepercayaan individu dan masyarakat yang masih kuat dipengaruhi oleh nilai tradisinya, Kepercayaan tentang sesuatu yang kadang-kadang tidak logik masih menebal. Kepercayaan mencorakkan nilai hidup individu, kelompok dan masyarakat terhadap soal-soal seperti warisan, agama, ideologi, pengetahuan, kebudayaan, sistem sosial dan sebagainya. Berdasarkan amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ dapat dilihat tujuan  adat ini diamalkan adalah untuk menerapkan nilai-nilai kekeluargaan, kasih sayang, kerjasama, bersatu padu, kesetiaan, muafakat dan bertanggungjawab. Amalan adat ini bukannya hanya suka-suka tetapi mempunyai nilai-nilai murni yang tersirat yang diperolehi oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut, Sabah.

Menurut Abdul Rahman Md. Aroff (1999: 8) nilai dianggap mutlak bukan hanya kerana sifatnya yang kekal dan diterima umum tetapi telah diuji oleh masa sebagai sesuatu yang baik. Nilai dipatuhi sesama manusia supaya dapat menjamin sikap dan tingkah laku moral yang diingini masyarakat serta mengekalkan keamanan sosial. Nilai dianggap berbeza oleh masyarakat yang berlainan. Dalam masyarakat Murut Tagal, amalan adat ‘Berian Sampai Mati’ memiliki nilai moral yang tersirat. Amalan adat ini dapat menyatukan masyarakat Murut Tagal dengan amalan nilai kerjasama, semangat bermasyarakat, muafakat, hormat-menghormati, semangat kekeluargaan dan berbudi bahasa. Nilai yang baik ini dapat memelihara dan menjaga keharmonian masyarakat Murut Tagal dalam kehidupan sehari-harian. Misalnya, penghantaran ‘berian’ semasa perkahwinan ‘tinauh, ‘bului’ dan ‘limpuhu’ memerlukan kerjasama, bantu-membantu, bersatu padu dan muafakat. Nilai-nilai ini mampu menyatukan pasangan yang berkahwin dengan hantaran ‘berian’ yang banyak dan dituntut oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki. Jika hantaran ‘berian’ tidak mencukupi, perkahwinan tersebut akan dibatalkan oleh keluarga pihak perempuan.


3.5       Kesimpulan

Teori Sosiologi amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat. Hal ini kerana sosiologi mengkaji masyarakat daripada pelbagai sudut dan peranan sosial mereka sendiri. Sosiologi digunakan untuk mengkaji masyarakat serta interaksi sosial mereka bukan kepada pengkajian individu. Tugas sosiologi adalah mempelajari apa yang disebut sebagai perkara sosial yang di dalam fakta tersebut  mempunyai sesuatu kekuatan dan struktur yang bersifat eksternal tetapi mampu mempengaruhi tingkah laku individu. Perkara sosial di sini merangkumi cara bertindak berfikir, budaya, agama dan institusi sosial.

Daripada bab ini, pengkaji mendapati bahawa untuk melihat adat dan kepercayaan dalam  amalan adat ‘Berian Sampai Mati’  itu sangat penting dalam masyarakat boleh dihuraikan melalui teori Sosiologi. Daripada sudut sosiologi, adat dan kepercayaan yang didukung oleh semua masyarakat tersebut sebenaranya sebagai kawalan sosial terhadap masyarakatnya sendiri. Jika masyarakat tersebut tidak mematuhi adat yang sedia ada, maka hukuman yang keras akan dijatuhkan. Hal ini demikian kerana untuk memastikan supaya setiap anggota masyarakat mematuhi adat dan kepercayaan yang telah diperturunkann oleh nenek moyang yang terdahulu.

2 comments:

  1. Berian sampai mati yang selalu diuar-uarkan dalam masyarakat Murut adalah istilah yang menunjukkan bahawa Kaum Murut mempunyai peraturan mengenakan bayaran berian (Mas Kahwin) seumur hidup kepada sesebuah pasangan yang berkahwin dengan Kaum Murut.
    Istilah “BERIAN MATI” atau pemberian berbentuk barangan seumur hidup dalam kalangan Kaum Murut adalah TIDAK BENAR seperti yang diketahui umum.
    Istilah berian mati ini timbul apabila pihak ibu-bapa mentua seseorang itu datang membantu dalam melakukan apa-apa kerja anak menantu mereka seperti membersihkan ladang, membantu menjayakan majlis keramaian dan sebagainya.
    Maka pihak menantu wajar untuk meberikan imbuhan seperti memberi barangan atau wang ringgit kepada mereka. Pemberian barangan atau wang ringgit itulah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai berian mati dan bukannya meminta atau mengambil apa-apa barangan yang disukai apabila datang melawat ke rumah menantu.
    Selain itu, berian mati wujud apabila menantu lelaki tidak dapat melunaskan jumlah berian yang telah diminta semasa majlis perkahwinan. Baki bayaran berian ini akan dibayar secara beransur-ansur sehingga selesai seperti yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.
    Oleh itu, pihak lelaki akan mencari barangan yang diminta oleh pihak ibu-bapa perempuan sehingga berjaya mendapatkan barangan tersebut dan memberikannya kepada ibu-bapa perempuan.
    Adakalanya, memakan masa yang lama bahkan bertahun-tahun mencari barangan antik sebagai hantaran perkahwinan ekoran daripada kesukaran untuk mendapatkan barangan-barangan yang diminta oleh keluarga pihak perempuan tersebut seperti gong(tawak), manik-manik (bungkas), tajau lama (tiluan,binungkul), sumpitan (sapok), padang panjang (pisau sinunsur) dan lain-lain.
    Tanggapan yang salah terhadap ‘berian mati’ perlu diperbetulkan dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana istilah berian mati telah membawa kesan negatif kepada Kaum Murut.
    Ini telah menyebabkan kaum yang lain menganggap Kaum Murut sebagai kaum yang materialistik atau suka mengambil kesempatan atau peluang terhadap anak menentu mereka.
    Sebenarnya pemberian barangan atau saguhati daripada anak menantu kepada ibubapa mertua adalah tanpa paksaan. Pemberian ikhlas dari menantu adalah sebagai membalas budi baik atas bantuan menyiapkan kerja-kerja berat.
    Tiada masalah sekiranya anak menantu tidak memberi sebarang barangan kepada kedua ibu-bapa mertua mereka.

    ReplyDelete
  2. Boleh tak terangkan perbezaan dan persamaan antara perkahwinan kaum melayu dan kaum murut?

    ReplyDelete